FIFA membuka prosiding tatatertib terhadap Argentina susulan beberapa insiden yang berlaku selepas kekalahan 0-1 kepada Sepanyol dalam final Piala Dunia di Stadium New York New Jersey pada Julai lalu.
Badan induk bola sepak dunia itu turut melantik seorang pendakwa tatatertib dan etika bagi meneliti insiden selepas wisel penamat yang menyaksikan beberapa pemain serta pegawai pasukan Argentina terlibat dalam pertengkaran dengan pemain Sepanyol.
Berdasarkan syor pendakwa berkenaan, FIFA akan menyiasat pemain Argentina, Nahuel Molina dan Leandro Paredes, serta penolong jurulatih Roberto Ayala atas dakwaan melakukan serangan fizikal mengikut Artikel 14 Kod Tatatertib FIFA.
Molina turut berdepan satu lagi pertuduhan berkaitan tingkah laku tidak sportif, manakala rakan sepasukannya, Thiago Almada, serta pemain tengah Sepanyol, Gavi, turut disiasat atas kesalahan sama.
Menurut Kod Tatatertib FIFA, pemain atau pegawai yang didapati bersalah atas kelakuan tidak sportif boleh dikenakan penggantungan sekurang-kurangnya satu perlawanan, manakala kesalahan serangan fizikal boleh membawa hukuman gantung minimum tiga perlawanan.
Pada masa sama, Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA) turut berdepan tindakan disiplin membabitkan beberapa kemungkinan pelanggaran peraturan sepanjang kejohanan.
Antara pelanggaran yang sedang disiasat termasuk penggunaan acara sukan bagi tujuan bukan sukan, salah laku pasukan, diskriminasi dan perkauman serta kegagalan mematuhi aspek ketenteraman dan keselamatan perlawanan.
Siasatan itu melibatkan dakwaan sorakan dan isyarat berunsur diskriminasi, kelewatan sepak mula, paparan mesej yang dianggap tidak sesuai oleh pasukan serta penyokong, selain tindakan membaling objek ke dalam padang.
Terdahulu, pemain Argentina meraikan kemenangan ke atas England dalam separuh akhir dengan membentangkan kain rentang menyokong tuntutan negara itu terhadap Kepulauan Falkland.
Kain rentang berkenaan memaparkan slogan “Las Malvinas son Argentinas”, yang bermaksud “Kepulauan Falkland adalah milik Argentina”. – Awani






