PENYERANG baharu Chelsea, Liam Delap, membuka akaun jaringannya bersama The Blues apabila meledak satu gol dalam kemenangan bergaya 3-0 ke atas Esperance de Tunis pada Rabu.
Tiga mata yang diraih di Stadium Lincoln Financial Field, Philadelphia, Pennsylvania, sekali gus memastikan kemaraan Chelsea ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia Kelab.
Pemain berusia 21 tahun itu, yang dibeli dengan nilai £30 juta dari Ipswich Town awal bulan ini, menunjukkan penyesuaian yang pantas bersama skuad kendalian Enzo Maresca.
Kehadiran Delap dilihat mampu menampung ketiadaan Nicolas Jackson yang digantung perlawanan menentang Benfica selepas dilayangkan kad merah ketika menentang Flamengo.
Maresca nyata gembira dengan impak segera pemain muda berkenaan yang dianggap antara penyerang muda paling diingini sepanjang jendela perpindahan musim panas.
“Saya sangat berpuas hati dengan Liam. Walaupun dia terlepas tiga peluang keemasan ketika menentang Flamengo, itu satu petanda positif kerana dia berada di kedudukan yang tepat. Kali ini, dia berjaya menyudahkannya.
“Kami yakin Liam akan terus menjaringkan gol untuk Chelsea. Kami tiada sebarang keraguan tentang kemampuannya,” ujar Maresca.
Tambah Maresca, proses penyesuaian Delap begitu lancar kerana saling memahami falsafah permainan kelab London berkenaan.
“Kami mengenali Liam dan dia juga tahu cara kami bermain. Itu yang mempercepatkan proses penyesuaian. Berbeza dengan pemain seperti Dario Essugo, Mamadou Sarr atau Andrey, mereka memerlukan lebih masa kerana belum benar-benar memahami sistem kami,” kata pengendali dari Itali itu.
Delap tampil bertenaga dan menunjukkan tahap kecergasan serta ketajaman tinggi – sesuatu yang dilihat mampu mengisi kekosongan ketajaman jentera serangan Chelsea yang tumpul sejak kebelakangan ini.
Kemenangan ke atas Esperance bukan sahaja meningkatkan keyakinan skuad muda The Blues, tetapi turut memberi isyarat bahawa Chelsea kini berada di landasan tepat menuju kejayaan musim ini.