Manchester City beri Juventus pengajaran

Manchester City beri Juventus pengajaran


Haaland jaring gol ke-300 dalam kariernya ketika Manchester City benam Juventus, 5-2 di Orlando. Foto: Agensi

ERLING Haaland menjaringkan gol ke-300 dalam kariernya ketika membantu Manchester City menewaskan Juventus, 5-2 dalam aksi cuaca panas terik di Stadium Camping World, Orlando, sekali gus mengungguli Kumpulan G di Piala Dunia Kelab.

Penyerang Norway berusia 24 tahun menjaringkan gol pada separuh masa kedua ketika pasukan Liga Perdana Inggeris itu bertahan dalam suhu 32 darjah Celsius, di samping hujan renyai, untuk menewaskan Juve bagi mengelak daripada berada dalam undian sama dengan juara Liga Juara-Juara, Paris Saint-Germain (PSG), dan gergasi Bundesliga, Bayern Munich.

Namun begitu, pengendali Pep Guardiola mungkin akan berdepan bekas pemainnya, Xabi Alonso, di pusingan seterusnya, sekiranya Real Madrid tewas menentang Red Bull Salzburg dalam Kumpulan H yang akan berlangsung Jumaat.

City memulakan dua perlawanan pembukaan dengan momentum pantas dan sekali lagi menjaringkan gol dalam tempoh 10 minit pertama apabila hantaran Rayan Ait-Nouri disambut Jeremy Doku untuk gol minit kesembilan.

Tetapi City dihukum serta-merta selepas membuka tirai jaringan apabila hantaran longgar penjaga gol Ederson dipintas Teun Koopmeiners minit ke-11.

Jika gol dibolosi City dalam pertemuan sengit itu dianggap teruk, gol dibolosi Juve agak melucukan hasil jaringan sendiri pemain antarabangsa Perancis, Pierre Kalulu minit ke-26.

Haaland masuk dari bangku simpanan pada separuh masa kedua menambah jaringan City minit ke-52, sebelum Phil Foden merembat masuk dari jarak dekat (m-69) diikuti sentuhan Savinho minit ke-75 untuk gol kelima City.

Penyerang Dusan Vlahovic menjaringkan gol sagu hati Juve minit ke-84 selepas mensia-siakan peluang lebih awal dalam perlawanan, tetapi sudah terlambat menyekat tiga mata City.



Source link

OR

Scroll to Top