Skuad B-23 berdepan harapan tinggi peminat

Skuad B-23 berdepan harapan tinggi peminat


Skuad B-23 bakal berdepan ujian getir di Piala ASEAN. FOTO: MALAYSIA NT

PENGENDALI skuad bawah 23 tahun negara, Nafuzi Zain sedar harapan tinggi peminat bola sepak negara yang mahu melihat kejayaan diraih di Piala ASEAN yang akan berlangsung di Indonesia bulan depan.

Menurut Nafuzi, dia memahami keinginan tersebut dan dalam masa sama sedar ia merupakan cabaran besar buat dirinya dan Harimau Muda.

“Memang saya memahami penyokong mahukan skuad negara untuk berjaya di peringkat antarabangsa dan memang ini cabaran yang besar untuk saya.

“Namun, saya bersedia kerana ini juga adalah satu pengalaman untuk saya di peringkat antarabangsa dan juga untuk karier saya sendiri sebagai jurulatih.

“Saya juga berharap setiap harapan peminat itu kita dapat balas balik dengan kejayaan walaupun kita tahu ia bukan satu perkara yang mudah tapi kita akan tetap berusaha sebaik mungkin,” katanya.

Skuad Harimau Muda akan membuka tirai cabaran menentang Filipina pada 15 Julai, diikuti pertemuan dengan Brunei pada 18 Julai, sebelum bertemu tuan rumah Indonesia pada 21 Julai.

Bagi edisi kali ini, Nafuzi meletakkan sasaran untuk mara ke peringkat separuh akhir.

Dalam pada itu, Nafuzi mengakui berdepan tugas sukar terutama perlu berdepan pasukan tuan rumah Indonesia yang juga pasukan pilihan untuk muncul juara dalam kejohanan itu.

“Kita bertemu dengan pasukan Indonesia iaitu pasukan tuan rumah dan bagi saya sendiri mereka pilihan untuk kejohanan ini berdasarkan perkembangan mereka dan faktor penyokong.

“Pemain kita sudah tentu perlukan satu motivasi dan keyakinan yang tinggi untuk bermain di sana.

“Namun, Kebanyakan pemain kita pun ada yang berpengalaman bermain di hadapan penyokong yang ramai dan saya yakin pemain mampu berikan cabaran,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top