Paulinho pacu Palmeiras. Foto Agensi
PAULINHO muncul wira Palmeiras apabila jaringannya masa tambahan memastikan kemenangan 1-0 ke atas Botafogo dalam pertembungan sesama pasukan Brazil Piala Dunia Kelab di Stadium Lincoln Financial Field, Philadelphia, Pennsylvania.
Dalam perlawanan itu, kedua-dua pasukan saling membatalkan kelebihan masing-masing sehinggalah rembatan bekas pemain sayap Bayer Leverkusen, Paulinho menewaskan penjaga gol Botafogo, John, pada minit ke-10 masa tambahan.
Palmeiras, yang menamatkan perlawanan dengan 10 pemain selepas kapten Gustavo Gomez dilayangkan kad merah, kini akan berdepan Chelsea di pusingan 16 terakhir untuk merebut tempat ke separuh akhir.
Intensiti tinggi format perlawanan kalah mati pertama temasya berwajah baharu ini bermula tegang apabila pertahanan tengah Botafogo, Alexander Barboza, mengasari Richard Rios, sekali gus membawa kepada kad kuning pertama dalam perlawanan didominasi oleh Palmeiras.
Penyerang Palmeiras, Vitor Roque, pula gagal menyempurnakan hantaran Joaquin Piquerez selepas 10 minit, sebelum rayuan penaltinya tidak diendahkan pengadil.
Namun, peluang terbaik kelab Sao Paulo itu untuk menjaringkan gol pada separuh masa pertama adalah pada masa kecederaan apabila percubaan Rios tersasar keluar.
Estevao Willian, yang bakal menyertai Chelsea, menguji John tidak lama selepas sepak mula semula dengan rembatan kaki kiri sebelum golnya dibatalkan ofsaid.
Percu Mauricio kemudiannya dinafikan John yang berjaya menepis tandukan untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan.
John kekal menjadi penjaga gol yang lebih sibuk apabila terpaksa melakukan penyelamatan awal pada masa tambahan hasil percubaan Rios, namun tidak berdaya beberapa saat kemudian apabila Paulinho menjaringkan gol kemenangan.