Anaheim, Amerika Syarikat: Bintang YouTube yang beralih ke arena tinju, Jake Paul mencatat kemenangan mudah ke atas Julio Cesar Chavez Jr dari Mexico dalam pertarungan cruiserweight di California sebentar tadi.
Paul, 28, yang sebelum ini bertarung menentang bekas juara heavyweight berusia 58 tahun Mike Tyson pada November lalu, mendominasi pertarungan sejak awal untuk meraih kemenangan menerusi keputusan sebulat suara.
Juri memberikan mata 99-91, 97-93 dan 98-92, semua memihak kepada Paul.
Chavez Jr, 39, anak kepada legenda tinju Mexico, Julio Cesar Chavez, kelihatan tidak mampu memberikan tentangan sepanjang pertarungan 10 pusingan itu.
Chavez Jr gagal melakukan sebarang tumbukan pada pusingan pertama dan corak itu berlarutan sehingga tamat, dengan Paul terus mengungguli kutipan mata.
Paul, yang dilaporkan meraih kira-kira AS$40 juta (RM169 juta) hasil pertarungan dengan Tyson yang ditayangkan di Netflix tahun lalu, mendapat bayaran minimum sekitar AS$300,000 (RM1.26 juta) bagi pertarungan kali ini.
Namun jumlah pendapatan keseluruhan dijangka mencecah AS$8 juta (RM33.8 juta) hingga AS$10 juta (RM42.2 juta) selepas mengambil kira hasil siaran bayar-per-tonton dan penajaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd