syafil.syazwan@hmetro.com.my
Sepang : Kes permohonan pengesahan lafaz cerai pelakon, Along Cham diteruskan Khamis ini dan pihaknya akan mendedahkan satu lagi bukti rakaman audio selepas beberapa bukti rakaman audio didedahkan hari ini.
Peguam yang mewakilinya, Akmal Amzan ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Sepang berkata, bukti baharu yang dikemukakan hari ini dibantah oleh pihak defendan, Afreena Suhaimi.
“Sekiranya diikutkan, kita sepatutnya akan cuba menyelesaikan kes ini pada Khamis ini. Namun, bukti yang kami kemukakan dibantah pihak defendan.
“Mahkamah tidak mahu memanjangkan isu, jadi hakim meminta kami terlebih dulu menunjukkan bukti itu kepada pihak sana.
“Ketika ini, ia berada dalam peringkat siasatan. Terdapat dua rakaman audio, satu pengakuan rujuk, manakala satu lagi berkaitan pengakuan terhadap perkara lain. Kami sedang berusaha untuk menjelaskannya semula,” katanya.
Menurutnya, sekiranya Afreena tidak hadir pada Khamis ini, kes ini akan tetap diteruskan.
“Defendan (Afreena) perlu hadir pada 3 Julai. Namun, sekiranya dia tidak hadir, kes tetap akan diteruskan. Jika mahkamah merasakan keputusan boleh dibuat, maka keputusan akan diteruskan. Semuanya bergantung kepada mahkamah,” katanya.
Along atau nama sebenarnya Muhammad Nizamudin Ahmad, 42, berkata, dia dan peguamnya membentangkan bukti-bukti baharu ini di mahkamah hari ini kerana faktor keselamatan kepada sumber mereka.
“Dia (pihak Afreena) terperanjat sebab ada beberapa bukti yang jika kami lampirkan sejak awal dalam surat saman, boleh menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan diri sumber, kerana ‘dia’ memang dikenali sebagai jenis yang menyerang.
“Saya sudah berbincang dengan peguam, dan peguam saya mengatakan bukti itu boleh dikemukakan. Namun tadi, terdapat bantahan keras daripada pihak peguamnya.
“Ada satu lagi rakaman yang bakal dikemukakan selepas ini yang pasti akan membuatkan dia lebih terkejut,” katanya.
Katanya, bukti yang dibentangkan dan akan dibentangkan Khamis ini adalah bukti kukuh.
“Saksi-saksi dalam kes ini pun risau kerana apabila kita memfailkan sesuatu, kita perlu menyertakan bukti dalam surat saman. Afreena pula mempunyai tabiat akan mencari pemberi maklumat.
“Saya bercakap berdasarkan fakta. Pernah berlaku seseorang yang memberi bukti kepada peguam saya dalam kes lain, diserang olehnya.
“Jadi kali ini, pemberi maklumat memohon supaya keselamatan dirinya dijaga. Saya berbincang dengan peguam, dan peguam saya mengesahkan bahawa bukti itu kukuh sebab ia adalah daripada suara dia sendiri, dan bukan dihasilkan oleh AI pun,” katanya.
Terdahulu, Along melafazkan talak di luar mahkamah pada Julai tahun lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd