PETALING JAYA: Ketua jurulatih berbasikal trek negara, Harnizam Basri memilih pendekatan realistik di Sukan Komanwel Glasgow 2026 apabila meletakkan sasaran final buat Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Datuk Azizulhasni Awang.
Menurut Harnizam, persaingan kali ini jauh lebih sengit kerana acara keirin dan pecut individu bakal menghimpunkan beberapa pelumba terbaik dunia, sekali gus menyebabkan setiap keputusan perlu dirancang secara berperingkat.
“Memang sasaran kita cuba memburu emas, tetapi lawan-lawan kita semua kuat. Azizulhasni pun ada sekali, jadi apa yang penting sekarang ialah fokus untuk masuk final dahulu.
“Untuk Shah Firdaus memang sasaran dia final keirin, manakala Azizulhasni pula kita sasarkan final dalam acara pecut dan keirin. Bila sudah berada di final, barulah kita tengok peluang untuk memburu pingat,” katanya.
Menurut beliau, skuad trek negara kini sudah memasuki fasa terakhir persiapan dengan latihan lebih tertumpu kepada kelajuan, kuasa dan simulasi perlumbaan sebenar menjelang temasya yang berlangsung dari 23 Julai hingga 2 Ogos ini.
“Sekarang kita sudah masuk fasa kelajuan dan kekuatan. Semua latihan lebih spesifik kepada perlumbaan dengan penggunaan motor-pace, race wheel dan intensiti yang lebih tinggi.
“Apa yang kami lakukan sekarang semuanya menjurus kepada situasi perlumbaan sebenar supaya pelumba benar-benar bersedia apabila berada di Glasgow nanti,” katanya.
Dalam masa sama, Harnizam mengesahkan Azizulhasni tidak menyertai sesi latihan beberapa hari ini selepas menjalani pemeriksaan lanjut terhadap lututnya, namun menjelaskan keadaan jaguh berusia 38 tahun itu tidak membimbangkan.
Katanya, pemeriksaan tersebut hanya dibuat sebagai langkah berjaga-jaga selepas Azizulhasni mengadu lututnya sedikit ketat sejak dua minggu lalu walaupun keputusan imbasan sebelum ini menunjukkan tiada kecederaan serius.
Selain Shah dan Azizulhasni, Malaysia turut meletakkan harapan kepada ratu trek negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri dan Nur Alyssa Mohd Farid dalam acara keirin dan pecut wanita.
Untuk rekod, Shah membawa pulang pingat gangsa keirin pada Sukan Komanwel Birmingham 2022, manakala Azizulhasni belum pernah menggenggam emas Komanwel selepas meraih dua gangsa setakat ini.-UTUSAN






