nfazlina@nstp.com.my
Kota Bharu: “Keadaan di pekan Golok, Thailand cemas dan kelam kabut dengan kenderaan askar serta bomba bertali arus selain terdengar beberapa dentuman bom.”
Rakyat Malaysia yang mahu dikenali sebagai Main, 35, yang kini berada di situ berkata, disebabkan kejadian yang berlaku, laluan untuk masuk ke Pekan Golok ditutup demi keselamatan.
“Saya berkunjung ke Pekan Golok bersama rakan tengahari semalam dan pada awalnya merancang untuk pulang malam tadi memandangkan pintu sempadan tutup jam 10 malam.
“Namun sebaliknya yang berlaku apabila sekitar jam 9 malam, terdapat bunyi letupan bom dan saya tidak tahu lokasi itu di mana namun kedengarannya jelas.
“Saya terus bergegas untuk ke ICQS Golok kerana mahu pulang ke Kelantan namun saya tidak dibenarkan ke sana kerana faktor keselamatan.
“Orang ramai tidak dibenarkan masuk ke pekan Golok dan terdapat banyak sekatan jalan dilakukan selepas kejadian yang berlaku. Mereka yang cuba melalui Pekan Golok akan diarahkan berpatah semula,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, sebaik terdengar bunyi dentuman berkenaan, dia dan rakan terus bertanyakan penduduk di situ dan mereka memaklumkan kejadian sama turut berlaku di lokasi lain.
“Saya memang takut kerana ini kali pertama mengalami situasi seperti ini walaupun sudah beberapa kali berkunjung ke Selatan Thailand.
“Sehingga kini saya tidak mampu tidur kerana bimbang dan tidak sabar untuk pulang ke Kelantan esok pagi. Namun saya bimbang pergerakan kami disekat dan tidak dibenarkan pulang.
“Saya kini menginap di sebuah hotel di Pekan Golok,” katanya.
Terdahulu, Selatan Thailand digemparkan dengan siri letupan bom
di beberapa lokasi di tiga wilayah berkenaan sejak malam tadi.
Menurut media tempatan Thailand, kejadian berlaku hampir serentak di beberapa lokasi di tiga wilayah berkenaan bermula jam 8.15 malam.
Laporan awal memaklumkan sekurang-kurangnya 12 lokasi di tiga wilayah iaitu Pattani, Yala dan Narathiwat.
Kejadian dilaporkan berlaku membabitkan beberapa bentuk gangguan seperti letupan, pembakaran tayar, pembakaran kenderaan serta serangan terhadap kemudahan awam dan premis perniagaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
