Acara SCORE Marathon tarik 33,000 pelari dari 48 buah negara

Acara SCORE Marathon tarik 33,000 pelari dari 48 buah negara


PENGANJURAN acara SCORE Marathon 2025 yang dipacu oleh AIA Vitality di Putrajaya hujung minggu depan bakal melakar sejarah baharu apabila berjaya menarik penyertaan 33,000 pelari dari 48 buah negara.

Jumlah penyertaan yang meningkat sebanyak 36 peratus berbanding 24,253 bagi edisi tahun lalu menjadikan pertandingan tersebut sebagai salah satu kejohanan larian terbesar di Malaysia.

Malah, lebih menarik acara yang akan berlangsung di pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan pada 13 Julai itu turut mendapat pengiktirafan daripada Olahraga Dunia (WA) dengan Label Road Race.

SCORE Marathon edisi 2025 dijadualkan berlangsung di Putrajaya pada 13 Julai ini. Foto Penganjur.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Score Sports Management, Patricia Tan berkata, tema pada tahun ini dapat memberikan inspirasi kepada para peserta untuk tidak mudah berputus asa dan mengerah segala kudrat hingga ke garisan penamat.

“Sejak mula dianjurkan pada 2014 dengan seramai 3,674 peserta, SCORE Marathon menunjukkan perkembangan yang cukup baik setiap tahun. Selepas lebih sedekad, kejohanan ini sentiasa memberikan inspirasi kepada pelari.

“Menerusi tema ‘Conquer Your Next Challenge’, kami harap ia dapat memberikan lebih semangat kepada peserta untuk bertahan hingga ke garisan penamat selain mempromosikan gaya hidup sihat,” katanya.

Kejohanan berkenaan bakal mempertandingkan empat jarak larian iaitu lima kilometer (km), 10km, 21km dan 42km, sekali gus menjadikannya sesuai untuk semua peringkat usia.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Pemasaran AIA Vitality, Chee Foong Wai pula menyifatkan maraton tersebut bukan sekadar perlumbaan semata-mata, tetapi ia menjadi platform menyatukan pelari-pelari dari seluruh dunia.

“SCORE Marathon lebih daripada sekadar perlumbaan kerana ia untuk meraikan gaya hidup sihat. Kami di AIA sangat bangga untuk memberikan sokongan kepada pergerakan yang menyatukan pelari-pelari.

“Penyertaan 33,000 peserta menjadi satu penanda aras bahawa orang ramai mula mementingkan gaya hidup yang aktif. Kami akan terus komited memberikan sokongan kepada acara-acara yang mempromosikan gaya hidup sihat,” ujarnya.

Larian itu turut mengangkat nilai kelestarian melalui inisiatif mesra alam sekitar apabila pada tahun lalu sebanyak 1,150 kilogram (kg) plastik berjaya dikitar semula.

Bagi edisi kali ini pula pakaian peserta diperbuat daripada benang bio oleh Pressio, manakala pingat dihasilkan menggunakan bahan kitar semula hasil kerjasama dengan Natureloop.



Source link

OR

Scroll to Top