Ajai mohon maaf, tiada niat tutup periuk nasi orang lain

Ajai mohon maaf, tiada niat tutup periuk nasi orang lain


mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Komposer yang juga pemain keyboard kumpulan Exists, Ajai tampil menjelaskan perkara sebenar disebalik kenyataan yang dikeluarkan berkenaan konsert WE 4U2C Live in Concert.

Menerusi Instagramnya, Ajai atau nama sebenarnya Mohamad Faizal Maas, 50, turut meminta maaf kepada pihak-pihak yang terasa dengan kenyataan yang dikeluarkan pada majlis sidang media serta pelancaran single klasik Alasanmu baru-baru ini.

“Sekiranya kenyataan saya disalah tafsir atau menyinggung mana-mana pihak, saya mohon maaf. Ia bukan bertujuan untuk menghalang mana-mana pihak daripada berkarya.

“Saya menyokong usaha mana-mana artis untuk terus berkarya, dan berharap segala perkara dapat diselesaikan secara baik dan berhemah. Terima kasih,” katanya ringkas.

Sementara itu, pada Sidang Media Tergempar Berkenaan Isu Hak Cipta Lagu anjuran 4U2C dan penganjur Juss Event hari ini, Datuk AC Mizal menempelak Ajai yang dikatakan mencampuri urusan mereka.

AC agak kecewa dengan kenyataan 4U2C tidak boleh buat konsert dan menganggap tindakan itu mahu menutup periuk nasi mereka.

Menurut AC, kenyataannya seakan menggambarkan Ajai tidak faham perundangan muzik seperti yang terkandung dalam Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP).

Terdahulu, Ajai menjelaskan dia tidak berniat menutup pintu rezeki atau menyebelahi mana-mana pihak ketika mengulas kontroversi penganjuran konsert kumpulan 4U2C terbabit.

Ajai berkata, selain menjawab pertanyaan media, kenyataan dibuat adalah perkongsian fakta dalam hal berkaitan atas niat mendidik.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top