Bergson sumbang gol tunggal buat JDT ketika menjinakkan Costa City. Foto: Johor Southern Tigers
JOHOR Darul Ta’zim (JDT) terus memperaga aksi konsisten dalam siri pramusim di Sepanyol apabila mencatat kemenangan 1-0 ke atas Costa City dalam aksi kedua di Stadium Olimpik Camilo Cano, pada Selasa.
Gol tunggal perlawanan dijaringkan penyerang prolifik Harimau Selatan, Bergson Da Silva pada minit ke-68, sekali gus memastikan skuad kendalian Xisco Muñoz mengekalkan rekod bersih tanpa bolos setakat ini.
Sebelum ini, JDT membuka kempen pramusim mereka dengan kemenangan bergaya 4-0 ke atas Real Murcia Imperial dalam aksi pertama di Pusat Latihan Melia Villaitana pada Isnin.
Perlawanan menentang Costa City menjadi medan ujian penting menjelang pertemuan lebih mencabar menentang kelab Liga Kejuaraan England, Cardiff City yang dijadual berlangsung di Pusat Sukan San Pedro del Pinatar pada 9 Julai.
Sepanjang kem latihan dari 2 hingga 24 Julai ini, juara 11 kali berturut-turut Liga Super m itu menyusun lapan aksi persahabatan antarabangsa membabitkan kelab dari Sepanyol, United Kingdom, Qatar dan Arab Saudi sebagai persiapan menghadapi tiga kejohanan utama musim 2025/26: Liga Malaysia, Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) dan Kejuaraan Kelab ASEAN.

Kesebelasan utama Harimau Selatan ketika berdepan Costa City pada Selasa. Foto: Johor Southern Tigers
Baki Jadual Pramusim JDT:
12 Julai
JDT lwn Levante UD
14 Julai
JDT lwn Valencia Mestalla
16 Julai
JDT lwn Al Rayyan SC (Qatar)
19 Julai
JDT lwn Al Arabi SC (Qatar)
21 Julai
JDT lwn Riyadh FC (Arab Saudi)





