Riyadh: Kerajaan Arab Saudi menggagalkan rancangan Amerika Syarikat (AS) untuk memindahkan ratusan ribu penduduk Palestin dari Semenanjung Gaza, menurut laporan portal berita Israel berbahasa Ibrani, Walla.
Laporan itu memetik sumber Israel yang mendakwa Presiden AS, Donald Trump, menarik balik sokongannya terhadap pelan berkenaan selepas lawatan ke Riyadh dan menandatangani beberapa perjanjian strategik dengan kepimpinan Arab Saudi.
Menurut Walla, Israel mengesan perubahan ketara dalam pendirian AS selepas lawatan Trump ke Arab Saudi pada Mei.
Lawatan itu dilaporkan telah memperbaiki hubungan AS-Arab Saudi, diperkuatkan lagi dengan perjanjian penting dalam bidang ekonomi dan keselamatan
Pada Februari, Trump secara terbuka mengemukakan cadangan ‘pelan migrasi sukarela’ untuk Gaza.
Cadangan itu termasuk memindahkan penduduk Palestin dari Gaza dan menjadikan kawasan itu sebagai ‘Riviera Asia Barat’ melalui pelaburan dalam projek pembangunan semula.
Namun, cadangan itu mengundang kecaman hebat dunia Arab dan pertubuhan kemanusiaan antarabangsa yang melihatnya sebagai cubaan terselindung untuk melaksanakan pemindahan paksa secara besar-besaran.
“Pelan itu tidak lebih daripada retorik politik dan tidak pernah ke peringkat pelaksanaan sebenar,” kata salah seorang pegawai Israel kepada Walla.
“Selepas Trump bertemu pemimpin Arab Saudi, ia dengan jelas menunjukkan perubahan pendirian AS,” katanya.
Menurut laporan itu, rancangan AS turut merangkumi dana sebanyak AS$2 bilion (RM bilion) untuk membina ‘zon peralihan kemanusiaan’ di dalam dan luar Gaza.
Namun, kekurangan tekanan diplomatik sebenar dari AS serta tentangan tegas Arab Saudi terhadap sebarang bentuk pemindahan telah menggagalkan pelan itu pada peringkat awal lagi.
“Arab Saudi tidak akan sesekali menyokong pemindahan rakyat Palestin. Kedudukan ini telah disampaikan secara langsung kepada pihak AS,” kata seorang diplomat Asia Barat yang enggan dikenali.
Sumber Israel turut mengesahkan bahawa usaha untuk meyakinkan negara-negara lain menerima penduduk Gaza yang dipindahkan tidak membuahkan hasil, walaupun pelbagai pendekatan diambil beberapa bulan lalu.
Dalam kalangan pembuat dasar Israel, pengunduran AS daripada ‘rancangan perpindahan Gaza’ itu dianggap sebagai satu tamparan terhadap usaha Tel Aviv.
Israel dikatakan bergantung kepada sokongan Washington untuk mempromosikan rancangan itu kepada negara-negara lain yang mungkin bersedia menerima penduduk Gaza.
Meskipun terdapat usaha mendekati beberapa negara dalam beberapa bulan kebelakangan ini, tiada hasil konkrit yang dicapai.
© New Straits Times Press (M) Bhd