‘Tak janji bulan bintang, tapi kami akan beri yang terbaik’

‘Tak janji bulan bintang, tapi kami akan beri yang terbaik’


Ziad (kiri dari depan) percaya Harimau Muda mampu mencipta kejutan di Piala ASEAN B-23 di Jakarta. Foto Malaysia NT

SKUAD bawah 23 tahun (B-23) negara berikrar untuk menampilkan persembahan terbaik mereka pada Kejohanan Piala ASEAN B-23 yang akan membuka tirainya di Jakarta, Indonesia bermula 15 Julai ini.

Pemain tengah Harimau Muda, Ziad El Basheer berkata, mereka tidak mahu menjanjikan bulan bintang, namun percaya jika aksi cemerlang dapat dipamerkan peluang untuk mara lebih jauh dalam kejohanan itu boleh direalisasikan.

“Saya dan rakan-rakan begitu teruja untuk beraksi kerana kami membawa nama negara. Kami mahu buktikan sesuatu di pentas ini.

“Kami tidak menjanjikan bulan dan bintang, tetapi yang pasti kami akan berikan sepenuh tenaga dan komitmen untuk beraksi sebaik mungkin,” katanya.

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan A akan memulakan kempen bertemu Filipina pada 15 Julai, diikuti aksi menentang Brunei (18 Julai), sebelum melengkapkan saingan peringkat kumpulan menentang tuan rumah, Indonesia pada 21 Julai.

Dua pasukan teratas setiap kumpulan akan layak ke peringkat separuh akhir yang dijadual berlangsung pada 25 Julai, manakala aksi final dan penentuan tempat ketiga akan berlangsung pada 29 Julai.

Dalam pada itu, Ziad turut memuji pendekatan taktikal serta gaya kejurulatihan pengendali Harimau Muda, Nafuzi Zain yang disifatkannya sebagai mesra pemain dan memberi keselesaan kepada semua anggota pasukan.

“Dalam kem ini, jurulatih banyak tekankan soal keserasian sesama pemain. Kalau luar padang pun dah serasi, dalam padang nanti ia akan jadi lebih mudah.

“Coach Nafuzi juga sangat terbuka, dia sentiasa bertanya jika ada yang tidak faham dan ini menjadikan hubungan antara jurulatih dan pemain lebih rapat,” ujarnya.



Source link

OR

Scroll to Top