KWASN: KBS hargai sumbangan konsisten korporat

KWASN: KBS hargai sumbangan konsisten korporat


Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh (dua dari kanan) menerima sumbangan daripada wakil Chery Malaysia berjumlah RM50,000 untuk KWASN. Foto KBS.

SYARIKAT automotif Chery Malaysia menyumbang RM50,000 kepada Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWASN) bagi mencerminkan sokongan berterusan sektor korporat kepada pembangunan sukan negara.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam memaklumkan sumbangan berkenaan seperti yang diumumkan semasa pelancaran model baharu jenama itu, Chery Tiggo Cross pada Rabu.

“Chery Malaysia turut akan menyumbang sebahagian daripada keuntungan penjualan Tiggo Cross kepada KWASN sebagai komitmen berterusan kepada usaha KBS dalam merakyatkan dan membangunkan sukan selari dengan Visi Sukan Negara 2030.

“Kerjasama strategik antara sektor kerajaan dan swasta seperti ini bukan sahaja berupaya melonjakkan prestasi sukan negara ke tahap yang lebih tinggi, malah turut menjadi penghargaan kepada para atlet yang telah mengharumkan nama negara di pentas dunia,”menurut kenyataan itu pada Jumaat.

KBS memaklumkan Chery Malaysia sebelum ini telah menghadiahkan kereta kepada atlet Malaysia yang berjaya meraih pingat semasa Sukan Olimpik Paris 2024.

“KBS menggalakkan lebih banyak syarikat dan entiti korporat untuk turut serta menyumbang kepada KWASN atau mana-mana inisiatif pembangunan sukan sama ada dalam bentuk tajaan, sumbangan kewangan atau kerjasama dalam program pembangunan bakat,” menurut kenyataan itu.

KWASN merupakan tabung amanah yang dibuka kepada umum dan bertujuan untuk menyediakan geran menganjurkan aktiviti sukan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa termasuk penyertaan atlet dalam kejohanan bertaraf antarabangsa di luar negara khususnya membantu menaikkan kedudukan ranking atlet negara.

 

 



Source link

OR

Scroll to Top