sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Jika dahulu namanya gah di velodrom sebagai pelumba trek negara, kini Rizal Tisin terus mengharumkan nama Malaysia apabila membina kerjaya kejurulatihan di luar negara.
Bekas raja pecut Asia itu kini antara jurulatih berprofil tinggi dalam kalangan negara Asia Tenggara selepas pernah mencurah ilmu di Singapura, Indonesia dan kini Thailand.
Menurut Rizal, keputusannya berhijrah ke luar negara bukan semata-mata kerana soal bayaran, tetapi lebih kepada memburu pengalaman baharu dalam arena kejurulatihan.
“Lepas beberapa tahun dengan Malaysia, Majlis Sukan Negara (MSN)… saya nak cuba cari pengalaman baharu, suasana kerja berbeza dan cabaran di tempat orang. Bayaran bukan keutamaan utama, tapi sudah tentu saya harapkan ada peningkatan setimpal dengan pengorbanan tinggalkan keluarga,” katanya kepada Arena Metro.
Tambah Rizal, walaupun terdapat perbezaan dari segi kemudahan dan sistem latihan antara negara-negara berkenaan, beliau tetap membawa nilai tambah dari pengalamannya di Malaysia.
“Di Singapura saya banyak belajar dari aspek teknikal dan struktur latihan moden, sementara di Indonesia dan Thailand, saya perlu banyak berdikari. Penolong pun kadang-kadang kurang faham. Tapi semua itu proses pembelajaran yang saya hargai.”
Rizal juga bersyukur kerana keputusannya berhijrah mendapat sokongan rakan-rakan sepelumba dan juga pihak Majlis Sukan Negara (MSN).
“MSN pun sokong sentiasa menyokong. Mereka kata ‘pergilah cari pengalaman’, nanti kalau ada peluang balik, mereka sedia terima,” ujarnya.
Beliau juga menyatakan kesediaan untuk kembali ke tanah air apabila tiba masa yang sesuai, namun buat masa ini, tumpuannya untuk terus menimba pengalaman dan menambah ilmu dalam bidang kejurulatihan.
Ketika ditanya nasihat kepada bekas atlet yang baru bersara, Rizal menyarankan mereka agar tidak takut mencuba nasib di luar negara.
“Kalau ada tawaran dan rasa berbaloi, pergilah. Tapi tanya dulu senior atau rujuk mereka yang pernah melalui laluan itu. Yang penting, niat nak timba pengalaman dan majukan diri.”
Dengan semangat tidak kenal lelah dan sentiasa ingin belajar, Rizal membuktikan anak Malaysia mampu mencipta nama di pentas antarabangsa bukan sahaja sebagai atlet, tetapi juga tenaga pakar kejurulatihan yang dihormati.
© New Straits Times Press (M) Bhd