CHICAGO, Amerika Syarikat: Penyerang Iraq, Aymen Hussein dilaporkan ditahan dan disoal siasat selama hampir tujuh jam di Lapangan Terbang O’Hare, Chicago selepas tiba bersama skuad kebangsaan awal pagi tadi.
Menurut seorang pegawai sukan Iraq yang mempunyai hubungan rapat dengan pasukan itu, Hussein akhirnya dibenarkan memasuki Amerika Syarikat (AS), namun jurugambar pasukan Talal Salah tidak dibenarkan masuk.
Setakat ini, Persekutuan Bolasepak Iraq dan Hussein sendiri belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai insiden itu.
Jabatan Imigresen dan Kastam AS (ICE) serta Jabatan Keselamatan Dalam Negeri AS juga belum memberikan maklum balas terhadap laporan berhubung soal siasat itu yang turut dilaporkan media Iraq.
Rakaman video di media sosial menunjukkan penyokong Iraq berkumpul di lapangan terbang seawal pagi bagi menyambut ketibaan skuad kebangsaan mereka, membawa bendera dan bergambar bersama pemain menjelang sepak mula kejohanan minggu depan.
Menurut pegawai berkenaan, telefon bimbit Hussein turut diperiksa ketika proses kemasukan.
“Jurugambar pasukan kebangsaan, Talal Salah ditahan lebih 10 jam, menjalani pemeriksaan telefon yang sama dan akhirnya tidak dibenarkan memasuki AS,” katanya.
Iraq kembali beraksi pada Piala Dunia buat kali pertama sejak penampilan sulung mereka 40 tahun lalu.
Hussein, 30, adalah watak penting yang menjaringkan gol memastikan Iraq layak ke pusingan akhir, selain mengetuai jentera serangan yang turut dibarisi Ali Al-Hamadi dari Ipswich Town serta dua pemain muda berbakat, Ali Jassim dan Youssef Amyn.
Iraq diundi dalam Kumpulan I bersama Perancis, Senegal dan Norway.
Piala Dunia yang dianjurkan bersama AS, Mexico dan Kanada akan bermula pada Khamis ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd





