Skuad remaja negara raih kemenangan kedua dalam aksi Kumpulan B BAJC di Solo pada Sabtu.
SKUAD badminton remaja negara meneruskan momentum positif dalam kempen Kejohanan Badminton Remaja Asia (BAJC) 2025 apabila menewaskan Myanmar 110-52 dalam aksi kedua Kumpulan B yang berlangsung di Stadium Tertutup Manahan, Solo, Indonesia pada Sabtu.
Perlawanan dimulakan dengan pasangan beregu campuran, Loh Zi Heng-Noraoilah Ramdan, yang meraih kemenangan mudah 11-5 ke atas Min Myat Moe-Lin Lin Htet.
Gandingan beregu lelaki, Loh Zi Heng-Tan Zhi Yang, kemudiannya menggandakan kedudukan buat Malaysia setelah menewaskan Nyan Min Htet-Ye Lin Htet dengan mata 22-10.
Dalam acara perseorangan wanita, Lim Zhi Shin mempamerkan aksi cemerlang apabila menundukkan Eaint Chit Phoo 33-18.
Seterusnya, pasangan beregu wanita Low Zi Yu-Dania Sofea Zaidi menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan mengatasi Yoon Thethar Maung-Nan Sam Chan Thaw 44-22.
Bagi acara perseorangan lelaki, Lim Boon Le tidak berdepan masalah untuk menewaskan Nyan Shaine Lin dengan mata 55-26.
Malaysia terus mengekalkan momentum apabila beregu campuran Datu Anif Datu Asrah-Nicole Tan menumpaskan Min Myat Moe-Lin Lin Htet 66-30.
Pasangan beregu lelaki kedua negara, Damien Ling-Shazmir Shahrul, turut menyumbang kemenangan selepas mengalahkan Nyan Min Htet-Yan Naing Tun 77-35.
Perseorangan wanita kedua negara, Oo Shan Zi, melebarkan jurang mata dengan kemenangan 88-40 ke atas Eaint Chit Phoo.
Pasangan beregu wanita kedua, Nicole Chau-Nur Aina Hatta, terus menambah keunggulan Malaysia dengan menewaskan Nyan Min Htet-Yan Naing Tun 99-45.
Razeek Danial melengkapkan kemenangan bergaya skuad negara apabila menundukkan Nyan Shaine Lin dalam aksi perseorangan lelaki kedua dengan keputusan 110-52.