Sepang ‘berdegar’ lagi Ogos ini

Sepang ‘berdegar’ lagi Ogos ini


EDISI kedua Malaysia Festival of Speed (MFOS) bakal berlangsung dari 15 hingga 17 Ogos di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dengan jaminan pengalaman sukan permotoran yang lebih meriah, inklusif dan penuh keterujaan.

Presiden Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM), Tan Sri Mokhzani Mahathir berkata, kejayaan penganjuran sulung tahun lalu menjadi pemangkin untuk memperkasakan lagi festival itu sebagai acara tahunan unggul dalam kalendar sukan permotoran negara.

“Kami teruja untuk membawa kembali Festival Kelajuan Malaysia bagi tahun kedua. Sambutan luar biasa daripada komuniti permotoran, keluarga dan para peminat memberi motivasi kepada kami untuk menjadikan edisi kali ini lebih bermakna,” katanya.

Menurut Mokhzani, penganjuran MFOS bukan sekadar tentang perlumbaan semata-mata, sebaliknya turut berperanan sebagai platform membudayakan sukan permotoran, mencungkil bakat baharu serta menyediakan ruang penyertaan yang terbuka kepada semua lapisan masyarakat.

Antara kategori yang bakal dipertandingkan termasuk Karting Sprint, Karting Slalom, Rali, Gymkhana (kereta dan motosikal), E-Sukan, Pocket Bike dan Push Bike – Demonstrasi.

MFOS 2025 turut mengekalkan penyertaan terbuka kepada peserta dari dalam dan luar negara, kecuali kategori Moto Gymkhana dan Pocket Bike yang dikhususkan kepada rakyat Malaysia selaras dengan usaha MAM untuk memupuk pertumbuhan sukan permotoran peringkat akar umbi.

Festival itu juga terus memberi penekanan terhadap penyertaan peringkat pemula dan pembangunan belia menerusi pelbagai kategori umur serta tahap kemahiran mengikut disiplin yang dipertandingkan.

Antara acara yang dijangka mencuri tumpuan ialah demonstrasi Push Bike, yang menjadi kegemaran pengunjung tahun lalu kerana menampilkan aksi cilik peserta muda dalam sukan tanpa enjin.

Sementara itu, Mokhzani menyatakan komitmen MAM berterusan untuk membina ekosistem sukan permotoran yang lebih mampan dan menyasarkan MFOS sebagai acara mercu tahunan serantau dalam tahun-tahun mendatang.

“MAM turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), SIC serta semua rakan strategik atas sokongan padu dalam memastikan penganjuran festival ini terus berjaya dan relevan,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top