United kurang kepantasan, Amorim akui Red Devils belum temui rentak

United kurang kepantasan, Amorim akui Red Devils belum temui rentak


PENGENDALI Manchester United, Ruben Amorim mengakui The Red Devils masih jauh daripada tahap prestasi terbaik selepas sekadar mencatat keputusan seri tanpa jaringan menentang Leeds United dalam aksi persahabatan pramusim di Stockholm, pada Ahad.

Aksi tersebut merupakan perlawanan pertama Red Devils dalam persiapan menjelang musim baharu, selepas kempen mengecewakan 2024/25, yang menyaksikan mereka menamatkan saingan di tangga ke-15, kedudukan terburuk dalam sejarah penyertaan mereka di Liga Perdana Inggeris.

United turut gagal menempah tiket ke Liga Juara-Juara Eropah apabila tewas 0-1 kepada Tottenham Hotspur dalam perlawanan akhir Liga Europa.

Meskipun menurunkan pemain baharu, Matheus Cunha dalam kesebelasan utama, skuad kendalian Amorim gagal menampilkan aksi meyakinkan apabila diasak oleh kelab yang baru dinaikkan ke Liga Perdana Inggeris berkenaan.

“Kami sedikit bergelut apabila cuba melakukan tekanan tinggi. Leeds bijak menggunakan hantaran jauh, memenangi bola kedua dan mencipta ancaman daripada situasi itu.

“Kami kekurangan kepantasan, terutama di bahagian tengah padang dan itu jelas ketara. Ini menyukarkan pergerakan bola ke hadapan. Namun begitu, kami tetap berjaya mencipta beberapa peluang.

“Masih banyak ruang untuk diperbaiki kelajuan permainan, ketepatan setiap perincian namun sebagai aksi pertama menentang kelab Liga Perdana Inggeris dengan dua pasukan berbeza, ia tetap satu ujian yang berguna,” katanya.

United dijadualkan berdepan West Ham United dalam aksi pramusim seterusnya yang akan berlangsung di Stadium MetLife, New Jersey pada 27 Julai ini.



Source link

OR

Scroll to Top