PENGENDALI skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara, Nafuzi Zain disaran memberikan penekanan menyeluruh terhadap aspek taktikal dan psikologi menjelang aksi hidup mati Harimau Muda menentang Indonesia dalam perlawanan terakhir Kumpulan A Piala ASEAN B-23 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta malam ini.
Jurulatih berpengalaman, Raja Isa Raja Akram Shah menegaskan bahawa pertemuan menentang tuan rumah itu bukan sekadar perlawanan biasa, sebaliknya satu ujian hebat melibatkan tekanan fizikal dan mental yang luar biasa.
“Daripada aspek taktikal, saya percaya Nafuzi cukup mengenali kekuatan dan kelemahan pemain tempatan. Namun, beliau perlu menyediakan dua pelan utama.
“Pertama, jika Indonesia kekal dengan permainan pantas dan agresif seperti kebiasaan dan kedua, jika mereka tampil dengan pendekatan baharu yang lebih berasaskan penguasaan bola,” katanya kepada Sukan Sinar.
Menurut Raja Isa, perubahan corak permainan Garuda Muda di bawah kendalian jurulatih Belanda, Gerald Vanenburg, kini lebih berfalsafah tenang, menekankan kawalan bola dan hanya menyerang apabila tiba detik sesuai.
“Ini satu peralihan ketara yang tidak boleh dipandang ringan. Analisis menyeluruh terhadap corak permainan semasa Indonesia amat penting.
“Skuad kita perlu bersedia secara taktikal dan mental jika Indonesia menguasai bola dan cuba memancing kesilapan pemain kita ketika hilang tumpuan,” katanya.
Harimau Muda memulakan kempen dengan kekalahan mengejut 0-2 kepada Filipina, sebelum bangkit menghidupkan peluang ke suku akhir dengan membelasah Brunei 7-1.
Sebagai rekod, Malaysia memerlukan kemenangan besar tiga gol tanpa bolos ke atas Indonesia untuk muncul juara kumpulan sekali gus menempah slot separuh akhir.
Sekiranya anak buah Nafuzi hanya melakar kemenangan 2-0 atau 1-0, peluang skuad muda negara untuk melangkah ke pusingan kalah mati dilihat agak tipis.
Pada masa sama tambah Raja Isa, aspek tekanan mental perlu diberikan perhatian khusus kerana pemain muda negara dilihat masih dibayangi kegugupan, terutama dalam fasa awal perlawanan.
“Saya perhatikan elemen gugup masih ada dalam kalangan pemain muda kita. Tetapi menentang Indonesia yang disokong ribuan penyokong tegar, perasaan gugup itu mesti dipadamkan dalam 15 minit pertama perlawanan,” katanya.