LARIAN Kidslympic Malaysia Kuala Lumpur 2025 yang disertai lebih 1,000 kanak-kanak bersama keluarga masing-masing pada 22 Jun lalu menerima pengiktirafan rasmi daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Melalui pengiktirafan itu, semua pelajar yang menyertai acara tersebut layak menerima markah kokurikulum di bawah Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) iaitu sistem pentaksiran standard yang dilaksanakan di semua sekolah rendah dan menengah.
Tujuan PAJSK adalah memastikan penilaian yang adil dan konsisten terhadap pembabitan pelajar dalam aktiviti bukan akademik sebagai usaha pembangunan holistik dan kemasukan ke universiti.
Ia menyumbang sebanyak 10 peratus mata merit untuk kemasukan ke universiti awam dalam negara dan membantu dalam permohonan ke sekolah berasrama penuh bertaraf elit.
Pengasas Bersama Kidslympic Malaysia, Wong Kang Woon amat berbangga dan berbesar hati kerana acara Kidslympic mendapat pengiktirafan yang sewajarnya.
“Kami amat berbesar hati dengan pengiktirafan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia. Ia adalah pengesahan penting terhadap usaha kami memperkasakan kanak-kanak melalui sukan dan pembabitan holistik.
“Kejayaan acara ini tidak mungkin tercapai tanpa sokongan padu daripada rakan strategik kami serta ibu bapa dan pendidik yang sentiasa menyokong kegiatan anak-anak.
“Ini bukan sekadar larian ia adalah simbol kepercayaan kami terhadap potensi setiap anak Malaysia,” katanya menerusi satu kenyataan pada Isnin.
Dalam surat bertarikh 7 Julai 2025 yang dialamatkan kepada penganjur Kidslympic Malaysia, KPM mengesahkan peserta yang mengambil bahagian dalam Larian Kidslympic Malaysia Kuala Lumpur 2025 layak menerima markah kokurikulum di bawah dua kategori utama, pembabitan peringkat kebangsaan dan pencapaian peringkat Kebangsaan.
“Pengiktirafan KPM juga mengukuhkan inisiatif Kidslympic Malaysia sebagai bukan sekadar acara sukan tetapi platform bertaraf kebangsaan yang menyokong pembangunan kanak-kanak memupuk kesihatan, disiplin, semangat berpasukan dan patriotisme dalam kalangan generasi muda,” ujar Kang Woon.
Larian berkenaan yang dianjurkan di bawah jenama Kidslympic Malaysia adalah sebahagian daripada gerakan lebih besar untuk membawa sukan dan gaya hidup sihat kepada kanak-kanak Malaysia melalui pengalaman yang menyeronokkan, inklusif dan bermakna.
Aktiviti itu bagi mencetuskan kegembiraan, membina keyakinan dan menggalakkan kecintaan terhadap senaman sepanjang hayat, Larian Kidslympic Run bertujuan merapatkan jurang antara permainan dan pembangunan akar umbi peringkat kebangsaan.
Edisi Kuala Lumpur menyaksikan penyertaan kanak-kanak daripada pelbagai latar belakang, disokong sepenuhnya oleh ibu bapa, guru dan pentadbir sekolah.
Ia juga bertindak sebagai platform penyatuan yang menghimpunkan komuniti berasaskan semangat ‘Dari Taman Permainan ke Podium’ slogan yang mencerminkan inti pati misi Kidslympic.
Sebagai rekod, Olimpian yang juga bekas pemain beregu campuran negara, Goh Liu Ying merupakan ikon Kidslympic Malaysia.