Arsenal ada ‘ramuan tepat’ muncul juara EPL

Arsenal ada ‘ramuan tepat’ muncul juara EPL


PENGENDALI Arsenal, Mikel Arteta mengakui persaingan merebut kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim depan bakal menjadi lebih sengit apabila menyifatkan sebanyak sembilan pasukan berpotensi untuk muncul juara.

Namun, beliau tetap yakin skuad The Gunners mempunyai ‘ramuan tepat’ untuk menamatkan musim sebagai pasukan terbaik.

Arsenal yang menamatkan saingan di tangga kedua dalam tiga musim berturut-turut kini tampil lebih bersedia selepas memperkuatkan pasukan dengan kehadiran Martin Zubimendi, Noni Madueke, Christian Norgaard dan Kepa Arrizabalaga dengan jumlah keseluruhan lebih £120 juta (RM685 juta).

Malah, kelab London itu turut dalam rundingan akhir bagi mendapatkan penyerang Sporting CP, Viktor Gyokeres dan pertahanan Valencia, Cristhian Mosquera.

Bagaimanapun, Arteta menyedari cabaran bukan sahaja hadir daripada Manchester City, Liverpool dan Chelsea, tetapi turut melibatkan beberapa pasukan lain yang turut membuat pelaburan besar.

“Setiap tahun kita perlu melihat bagaimana segala-galanya berkembang, tetapi saya lihat keseimbangan dalam pasukan kini berada di tahap baik dari segi kematangan, pengalaman, pemain muda, serta semangat dan keinginan untuk menang.

“Masalahnya, ada enam, tujuh, lapan pasukan lain yang juga memiliki ramuan sama untuk menjadi juara dan hanya satu akan berjaya. 

“Jadi kami perlu memberi fokus sepenuhnya kepada perkara yang berada dalam kawalan kami bagi mencapai matlamat pada penghujung musim,” katanya.

Ketika ditanya adakah Arsenal benar-benar berkemampuan untuk menjuarai liga, beliau berkata: “Ya, saya percaya. Liga ini semakin kompetitif setiap tahun dan tahapnya makin tinggi. Jadi tuntutan terhadap kami juga perlu meningkat.

“Kami sudah sangat aktif di jendela perpindahan, tetapi lebih penting adalah untuk terus meningkatkan tahap pemain sedia ada. Itu adalah matlamat utama kami.

“Kami juga sedang membentuk asas serta prinsip kukuh ketika pra-musim supaya pasukan bersedia dalam keadaan terbaik apabila musim bermula,” katanya.

Tambah Arteta lagi, semangat tinggi dalam kalangan pemain dapat dirasai sejak hari pertama latihan.

“Apa yang mereka cakap sejak hari terakhir musim lalu dan hari pertama latihan ialah ‘bagaimana kita nak jadi lebih baik?

“Kami tahu kami sangat hampir dalam dua pertandingan besar, dan kini kami mahu ambil langkah seterusnya.

“Akan ada banyak perkara dan detik penting yang perlu memihak kepada kami. Kami perlu berusaha untuk memastikan semuanya menyebelahi kami,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top