Hugo Ekitike. FOTO: LIVERPOOL FC
LIVERPOOL terus memperkukuhkan skuad mereka apabila melengkapkan perpindahan penyerang muda Perancis, Hugo Ekitike dari Eintracht Frankfurt dengan yuran perpindahan dilaporkan mencecah 69 juta pound sterling (RM395 juta).
Menerusi kenyataan rasmi kelab itu, pemain berusia 23 tahun itu telah melepasi ujian perubatan dan bersetuju dengan terma peribadi, sekali gus membolehkannya menyertai skuad The Reds di Hong Kong untuk siri jelajah pramusim di Asia minggu ini.
Perpindahan Ekitike ke Anfield menjadikan jumlah keseluruhan perbelanjaan Liverpool pada jendela perpindahan musim panas ini melebihi 250 pound sterling juta (RM1.4 bilion).
Difahamkan, Liverpool beralih sasaran kepada Ekitike selepas Newcastle enggan melepaskan penyerang Sweden, Alexander Isak.
Newcastle dan Manchester United turut berminat mendapatkan Ekitike, namun Liverpool berjaya memenangi perlumbaan untuk mendapatkan salah seorang bakat muda paling menyerlah di Eropah ketika ini.
Musim lalu, Ekitike meledak 22 gol dalam 48 penampilan bersama Frankfurt dalam semua kejohanan selepas berhijrah dari Paris Saint-Germain (PSG).
Prestasi cemerlangnya menyaksikan dia tersenarai dalam Kesebelasan Terbaik Bundesliga musim lalu ketika Frankfurt menamatkan saingan di tangga ketiga liga.
Liverpool ketika ini kekurangan pilihan di jentera serangan selepas pemergian mengejut Diogo Jota yang maut dalam kemalangan jalan raya di Sepanyol baru-baru ini.
The Reds juga dikhabarkan sedia melepaskan penyerang Uruguay, Darwin Nunez, manakala bintang Colombia, Luis Diaz menjadi sasaran Bayern Munich namun tawaran awal telah ditolak.
Setakat ini, Liverpool sudah mendapatkan pemain tengah Jerman, Florian Wirtz selain membawa masuk dua pertahanan iaitu Jeremie Frimpong (Bayer Leverkusen) dan Milos Kerkez (Bournemouth).
Penjaga gol Georgia, Giorgi Mamardashvili turut menyertai skuad bimbingan Arne Slot selepas perpindahannya dari Valencia dimuktamadkan.