Pemain kekal fokus aksi persahabatan – Arif Aiman

Pemain kekal fokus aksi persahabatan – Arif Aiman


mohdsyazwan@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Selepas terlepas peluang beraksi dalam Piala Negara-Negara Asia Tengah (CAFA) 2025, skuad Harimau Malaya bakal mengharungi dua aksi persahabatan antarabangsa menentang Singapura dan Palestin pada jendela FIFA bulan September ini.

Langkah pantas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu dilihat sebagai usaha mengisi kekosongan selepas menarik diri daripada CAFA, namun segelintir penyokong mula mempersoalkan tahap kualiti lawan yang akan dihadapi.

Dengan ranking Singapura di kedudukan 159 dan Palestin di tangga ke 98 dunia, ramai beranggapan ia tidak setanding pasukan yang sepatutnya ditentang di CAFA seperti Iran (20) dan Tajikistan (106).

Bagaimanapun bagi pemain sayap lincah negara, Arif Aiman Hanapi, soal siapa lawan bukan perkara utama, sebaliknya fokus penuh diberikan kepada persiapan menghadapi perlawanan akan datang.

“Pandangan saya sebagai pemain, saya tidak ambil tahu pun. Saya hanya fokus untuk apa yang ada di depan sekarang. Itu sahaja.

“Seperti yang saya katakan, persediaan itu amat penting untuk aksi persahabatan. Kita perlu harungi persiapan yang baik untuk perlawanan yang akan datang,” katanya dalam sesi soal jawab pada Majlis menandatangani perjanjian Puma bersama Arif Aiman, di sini, sebentar tadi.

Dua aksi persahabatan ini dilihat menjadi medan pemanas badan skuad Harimau Malaya sebelum turun dalam baki aksi kelayakan Piala Asia 2027 yang lebih mencabar pada Oktober dan November nanti.

Arif Aiman yang juga tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT) berkata, setiap minit bersama pasukan kebangsaan adalah peluang untuk membina kekuatan, tanpa mengira nama atau ranking pasukan lawan.

Pada masa sama, Arif turut menyifatkan kepercayaan yang diberikan sebagai kapten dalam aksi pramusim JDT sebagai satu tanggungjawab besar yang membuka ruang untuk dirinya berkembang sebagai pemain utama.

“Saya anggap ia peluang yang berharga dan saya tak anggap itu sebagai satu beban untuk saya. Ini peluang untuk saya lebih menunjukkan diri saya sebagai pemain dan rasa (sebagai) kapten.

“Saya pun dapat belajar dari semasa ke semasa,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top