Atlanta: Maghribi bukan setakat mencari kemenangan tetapi juga memburu jaringan besar ke atas Haiti yang sudah tersingkir di Atlanta pada awal pagi Khamis, dengan hasrat untuk menamatkan saingan di tangga teratas kumpulan mengatasi Brazil.
Ia bakal menjadi satu mesej buat pasukan Afrika Utara itu yang mengumpul empat mata daripada dua perlawanan pertama Kumpulan C dan tampil meyakinkan apabila menekan Brazil dalam keputusan seri pada aksi pembukaan kejohanan Piala Dunia 2026.
Selepas itu, Maghribi menewaskan Scotland di Boston sekali gus meneruskan momentum selepas pencapaian bersejarah mereka di Piala Dunia 2022 sebelum ini apabila menjadi pasukan Afrika dan Arab pertama mara ke separuh akhir.
Brazil akan beraksi menentang Scotland pada masa sama di Miami dan jika kedua-dua pasukan itu menang dalam perlawanan terakhir kumpulan, penentuan tempat pertama akan dibuat menerusi perbezaan gol.
Kemenangan 3-0 Brazil ke atas Haiti sebelum ini memberi kelebihan dari segi perbezaan gol berbanding Maghribi sekali gus memaksa skuad kendalian Mohamed Ouahbi untuk mencari kemenangan besar.
“Keindahan Piala Dunia ialah kepelbagaian gaya permainan yang perlu anda hadapi,” kata Ouahbi.
Namun, jika mahu merampas tempat pertama, Maghribi perlu bermain secara lebih menyerang.
Juara kumpulan akan menentang naib juara Kumpulan F manakala tempat kedua akan berdepan juara Kumpulan F yang turut membabitkan Belanda, Jepun dan Sweden.
Haiti menjadi pasukan pertama tersingkir daripada kejohanan selepas kalah kepada Scotland dan Brazil namun menegaskan mereka tetap mahu menamatkan kempen dengan penuh maruah.
“Adakah kami berhak untuk mengabaikan perlawanan? Sudah tentu tidak,” kata jurulatih, Sebastien Migne. –
© New Straits Times Press (M) Bhd





