SHAH ALAM: Bagi mengukuhkan kesedaran kewangan dan pemilikan aset jangka panjang masyarakat, platform simpanan emas dan perak tempatan, MEEM Gold mengukuhkan peranannya menerusi gabungan ekosistem simpanan, pendidikan kewangan serta pembangunan keusahawanan.
Sebagai platform simpanan emas dan perak 100 peratus Bumiputera, MEEM Gold menawarkan pendekatan holistik bagi memberi akses lebih luas kepada pelbagai lapisan masyarakat.
Perkembangan ini sekali gus menjadikan MEEM Gold bukan sekadar jenama produk logam mulia, sebaliknya platform yang membina budaya menyimpan, pemilikan aset fizikal dan peluang ekonomi mampan.
Pengiktirafan rakan niaga
Bagi mengiktiraf peranan penggerak jenama di peringkat akar umbi, MEEM Gold meraikan pencapaian rakan niaganya menerusi penganjuran MEEM Gold Prestige Reseller Award 2025/2026.
Majlis itu menzahirkan komitmen syarikat menghargai prestasi, konsistensi dan sumbangan komuniti reseller yang bertindak sebagai jurubicara ilmu simpanan emas dalam masyarakat.
Ketua Pegawai Eksekutif MEEM Gold, Amran Bachok
Ketua Pegawai Eksekutif MEEM Gold, Amran Bachok, berkata pihaknya melihat emas dan perak bukan sekadar produk untuk dibeli, sebaliknya bentuk simpanan aset fizikal yang boleh dibina secara berperingkat serta dilindungi nilainya untuk jangka panjang.
Namun begitu, beliau menjelaskan industri simpanan emas tempatan ketika ini masih mendepani tiga cabaran utama.
Katanya, cabaran itu merangkumi ketakutan terhadap kes penipuan (scam), tanggapan salah bahawa simpanan emas memerlukan modal besar, serta tahap kesedaran ilmu kewangan yang masih rendah.
“Sebab itu pendidikan menjadi sebahagian daripada ekosistem utama MEEM Gold. Perkara asas bagi sesiapa yang mahu memulakan simpanan emas adalah ilmu, ilmu dan ilmu.
“Masyarakat perlu didedahkan kepada pengetahuan pengurusan kewangan dan perlindungan nilai aset supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran yang tidak masuk akal.
“Selain itu, bagi memastikan bekalan dan urus niaga selamat, pembeli wajib memahami prinsip Syariah. Di MEEM Gold, kita pastikan pegangan emas fizikal wujud terlebih dahulu sebelum transaksi jual beli dilakukan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Amran berkata, langkah itu penting bagi membina kepercayaan pelanggan kerana syarikatnya mengamalkan jual beli emas fizikal sebenar, bukannya menawarkan skim jaminan keuntungan bulanan.
Menurutnya, aspirasi syarikat adalah membina jenama yang dikenali menerusi nilai yang dibawanya kepada masyarakat, khususnya menerusi inisiatif MEEM Business Owner yang memberi peluang individu membangunkan kemahiran jualan, pemasaran dan rangkaian perniagaan secara profesional.
Visi simpanan, program i-Baitullah
Ketua Pegawai Operasi MEEM Gold, Muhamad Zhafri Hilmi
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi MEEM Gold, Muhamad Zhafri Hilmi menegaskan pembangunan reseller dan penganjuran program berimpak tinggi penting dalam menyampaikan maklumat kewangan yang telus.
“Kami mahu masyarakat melihat simpanan emas dengan visi lebih luas, bukan sekadar menyimpan tanpa hala tuju.
“Antaranya menerusi program khas seperti i-Baitullah, yang mana kita menawarkan akses dan peluang untuk masyarakat merancang simpanan ke Tanah Suci dengan nilai yang lebih rendah dan mampu milik.
“Ini membuktikan simpanan emas boleh dijadikan medium merealisasikan impian ibadah,” jelasnya.
Budaya kepimpinan syarikat yang mesra turut diakui penerima anugerah kategori Partner Circle, Muhammad Nur Amin Mohd Zaibri.
Beliau berkata, hubungan erat antara pihak pengurusan Ibu Pejabat Shah Alam dan komuniti reseller menjadi faktor utama mendorongnya menceburi perniagaan berkenaan.
“Awalnya saya hanya mahu menyimpan emas, namun keperibadian pengurusan yang mesra membuatkan saya tertarik menyertai ekosistem ini bagi menambah pendapatan.
“Cabaran utama perniagaan ini adalah berhadapan dengan sikap skeptikal masyarakat. Namun, dengan kemudahan simpanan emas fizikal mahupun digital yang ditawarkan MEEM Gold, ia memudahkan kita memberi kesedaran,” katanya.
Rangkaian cawangan, peluasan pasaran

Bagi mendekatkan akses simpanan emas dan perak kepada masyarakat, MEEM Gold mengukuhkan kehadiran fizikalnya menerusi lapan lokasi operasi di seluruh Semenanjung Malaysia.
Ia merangkumi Ibu Pejabat di Shah Alam serta cawangan di Bangi, Jitra, Alor Setar, Bertam, Johor Bahru, Kuantan dan cawangan terbaharu di Kota Bharu yang bakal beroperasi secara rasmi pada 1 September ini.
Mengulas perancangan masa depan, Amran memaklumkan MEEM Gold menyasarkan peluasan cawangan domestik secara berterusan serta merancang melebarkan sayap operasi ke Indonesia dan Brunei tidak lama lagi.
© New Straits Times Press (M) Bhd
