mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Jurulatih Selangor FC, Katsuhito Kinoshi menyifatkan aksi menentang kelab jemputan Asia Warriors FC sebagai antara perlawanan pramusim paling penting buat skuad kendaliannya menjelang kempen sebenar Liga Malaysia.
Walaupun terpaksa merehatkan beberapa pemain utama akibat selsema, beliau tetap positif dengan tahap persediaan pasukan yang kini memasuki fasa akhir menjelang pertembungan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada pertemuan Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim, 8 Ogos ini.
“Pertama sekali, saya amat berbesar hati kerana dipilih oleh pasukan Asian Warriors sebagai lawan mereka. Oleh itu, kami perlu membuat persiapan yang rapi untuk perlawanan ini.
“Malangnya, beberapa pemain kami dijangkiti selsema, jadi kami tidak dapat menurunkan mereka. Namun, pemain-pemain lain yang berehat telah membuat persiapan yang baik, dan kami bersedia untuk menentang Asia Warriors FC.
“Kami juga perlu membuat persiapan untuk perlawanan rasmi menentang JDT dua minggu dari sekarang. Oleh itu, perlawanan ini adalah perlawanan paling penting bagi kami dalam pramusim.
“Seperti yang anda lihat, Micky (Faisal Halim) sudah bersedia, semua orang sudah bersedia, jadi jangan risau. Terima kasih banyak-banyak,” katanya, dalam sidang media pra perlawanan Selangor FC menentang Asia Warriors FC, sebentar tadi.
Kinoshi yang mengambil alih skuad Gergasi Merah musim lalu turut menjelaskan bahawa beliau akan melakukan rombakan penuh ketika menentang Warriors bagi memberi minit permainan kepada semua pemain.
Katanya, satu lagi aksi persahabatan dijadualkan berlangsung minggu depan sebagai penutup tirai pramusim sebelum mereka bertandang ke gelanggang JDT untuk aksi sulung liga.
“Kami ada satu lagi perlawanan minggu depan. Secara keseluruhannya, saya gembira dengan kemajuan persiapan pasukan.
“Dalam perlawanan persiapan ini, saya perlu menukar semua pemain. Saya mahu memberi peluang kepada semua pemain untuk menentang Warriors. Jadi, persiapan sebenar akan bermula minggu depan.
“Minggu depan kami ada satu lagi perlawanan persahabatan. Iya, sudah tentu kami perlu serius untuk menentang JDT, tetapi sasaran utama kami sekarang adalah untuk menikmati perlawanan esok,” katanya.
Selangor FC sebelum ini menjalani siri latihan di Thailand dan dilihat semakin mantap dari segi taktikal serta keserasian, sekali gus meningkatkan keyakinan penyokong terhadap potensi sebenar pasukan musim 2025/2026.
© New Straits Times Press (M) Bhd