Cklamovski mahu bentuk Harimau Malaya konsisten raih kemenangan.
PENGENDALI Harimau Malaya, Peter Cklamovski menegaskan bahawa kedudukan ranking dunia bukan menjadi keutamaan beliau ketika ini, sebaliknya lebih fokus kepada usaha meningkatkan prestasi pasukan negara secara menyeluruh.
Menurut jurulatih berasal dari Australia itu, kemenangan secara konsisten dan persembahan baik akan secara tidak langsung melonjakkan kedudukan Malaysia dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
“Jika kita terus menang, ranking akan terus meningkat. Mudah sahaja.
“Saya tidak terlalu fokus terhadap perkara itu (ranking). Sebaliknya, saya lebih memikirkan bagaimana untuk memperbaiki pasukan dan mencipta sesuatu yang istimewa.
“Jika kita berjaya melakukan sesuatu yang luar biasa, ranking akan turut meningkat dan semua orang pasti gembira,” katanya kepada Sinar Harian.
Sebelum ini, skuad kebangsaan terlepas peluang untuk menguji tiga pasukan kuat dari Asia Tengah Iran (ranking ke-18 dunia), Tajikistan (104) dan Afghanistan (160) apabila terpaksa menarik diri daripada kejohanan Piala Negara-Negara Persatuan Bolasepak Asia Tengah (CAFA) 2025 yang dijadual berlangsung bulan depan.
Sebagai ganti, Harimau Malaya bakal mengisi kelompongan jendela antarabangsa FIFA pada bulan tersebut dengan dua perlawanan persahabatan menentang Singapura dan Palestin, yang dilihat sebagai ujian penting menjelang kempen kelayakan Piala Asia pada Oktober nanti.
Mengulas mengenai perlawanan tersebut, Cklamovski berkata, beliau mahu terus menambah baik pasukan dan berharap anak-anak buahnya tampil dengan aksi meyakinkan dan menghiburkan dalam dua perlawanan tersebut sekali gus membina momentum kemenangan.
“Ia satu cabaran untuk berdepan lawan yang bagus, namun kami mahu menunjukkan identiti permainan kami dan menampilkan pasukan yang membanggakan, menghiburkan serta mampu membuat rakyat Malaysia teruja melihat mereka beraksi.
“Sasaran kami adalah untuk menang kedua-dua perlawanan itu, tiada kompromi. Walaupun kem latihan kali ini singkat, matlamat kami tetap jelas,” ujarnya.