KETUA jurulatih skuad hoki remaja lelaki negara, Nor Saiful Zaini Nasiruddin menyifatkan laluan skuad The Young Tigers ke peringkat suku akhir Piala Dunia Remaja 2025 bakal berdepan cabaran getir apabila diundi dalam Kumpulan E bersama gergasi Eropah, Belanda, England dan Austria.
Kejohanan yang dijadual berlangsung di Chennai, India dari 29 November hingga 10 Disember itu menuntut Young Tigers muncul juara kumpulan bagi melayakkan diri secara automatik ke kelompok lapan terbaik.
“Kita diundi bersama Belanda, England dan Austria, ketiga-tiga pasukan ini sangat kuat dan bukan calang-calang.
“Secara realistik, untuk muncul juara kumpulan memang sukar, namun itu adalah satu-satunya laluan untuk ke suku akhir.
“Jika hanya mampu meraih tempat kedua, kita akan bersaing dalam kelompok tempat kesembilan hingga ke-16,” katanya kepada Sukan Sinar.
Bekas pemain The Speedy Tigers itu bagaimanapun menegaskan bahawa semangat juang pasukan tidak akan luntur, malah akan turun dengan satu tekad iaitu bermain untuk menang dalam setiap perlawanan.
“Kita akan bermain untuk menang, itu prinsip kita. Tiada istilah beri laluan mudah,” katanya.
Dalam pada itu, Nor Saiful Zaini turut menyifatkan penyertaan skuad negara dalam Kejohanan Hoki Piala Emas MCC Murugappa All India buat kali pertama bagi edisi ke-96 di Stadium SDAT-Datuk Bandar Radhakrishnan, Chennai, sebagai medan pemanas badan yang cukup berguna.
“Kami menentang empat kelab terbaik dari India. Walaupun mencatat satu kemenangan, satu seri dan dua kekalahan, saya tetap berpuas hati kerana banyak perkara dipelajari daripada kejohanan ini,” jelasnya.
Tambah beliau, penglibatan dalam kejohanan berintensiti tinggi seperti itu memberi peluang kepada pemain mengasah persefahaman dan ketahanan mental selain menjadi platform penting menjelang Piala Sultan Johor yang dijadualkan berlangsung Oktober ini.
“Kita akan gunakan segala pengalaman di India sebagai bekalan menghadapi kejohanan besar akan datang, terutamanya Piala Sultan Johor sebelum menghadapi saingan Piala Dunia Remaja di India,” ujarnya.