Speedy Tigers wajib tewaskan Belgium hidupkan peluang suku akhir


saifulaffendy@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Skuad hoki negara tiada pilihan lain selain perlu memburu kemenangan ke atas pasukan nombor satu dunia, Belgium pada aksi terakhir Kumpulan B di Belfius Hockey Arena, Belgium, awal pagi Khamis ini, sekiranya mahu terus menghidupkan peluang melangkah ke suku akhir Piala Dunia Hoki 2026.

Ia pastinya bukan tugas mudah bagi skuad bimbingan Brendon Carolan selepas tewas 1-5 kepada Jerman pada aksi pembukaan sebelum terikat 3-3 dengan Perancis semalam, sekali gus mengumpul hanya satu mata selepas dua perlawanan.

Berdepan gergasi Eropah, Belgium, Carolan mengakui anak buahnya perlu meningkatkan lagi tahap persembahan jika mahu mencipta kejutan.

“Anda berdepan pasukan yang berada dalam kelompok terbaik dunia, jadi kami perlu mempamer aksi lebih baik.

“Anda tidak boleh sekadar mempamerkan prestasi baik hari ini, kemudian mengurangkan intensiti pada perlawanan seterusnya kerana anda akan menerima padah apabila berdepan pasukan berkualiti seperti Belgium,” katanya.

Mengulas aksi menentang Perancis, Carolan tetap berbangga dengan semangat juang dipamerkan pemainnya yang enggan menyerah walaupun berdepan lawan berkualiti.

“Saya sangat bangga dengan barisan pemain negara. Saya rasa semua pemain sudah bekerja sangat keras. Mereka menghabiskan tempoh yang lama berjauhan daripada keluarga dan banyak berkorban demi negara.

“Kami hanya cuba mahu memastikan mereka serta semua penyokong kami berbangga dengan apa yang kami lakukan.

“Saya rasa Perancis sudah memberikan tentangan hebat kepada beberapa pasukan besar dan mereka hampir mencipta keputusan positif ketika menentang Belgium. Kami semakin menghampiri tahap yang diperlukan untuk beraksi di Sukan Asia,” katanya katanya merujuk kepada temasya Sukan Asia yang bakal berlangsung di Aichi-Nagoya pada 19 September sehingga 4 Oktober depan.

Pada aksi semalam, Shello Silverius membuka tirai jaringan hasil jaringan padang pada minit kelima, tetapi Perancis berjaya menyamakan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti Victor Charlet pada minit ke-19.

Perancis mengambil kesempatan terhadap kekalutan pertahanan Malaysia yang gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya untuk Louis Haertelmeyer menyempurnakan gol padang pada minit ke-37.

Speedy Tigers bagaimanapun terus berjuang dan berjaya menyamakan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti mengelirukan yang disudahkan Shello pada minit ke-45.

Malaysia kembali di depan pada minit ke-57 apabila Akhimullah mudah menampan masuk hantaran lintang Azrai Aizad Abu Kamal, namun kelebihan itu hanya bertahan dua minit apabila Timothee Clement menyamakan kedudukan untuk Perancis pada minit ke-59.

Fitri Saari hampir muncul wira negara apabila menjaringkan gol pada saat-saat akhir, namun jaringan itu dibatalkan selepas Mohamad Akhimullah didapati menggunakan bahagian belakang kayu hoki ketika menghasilkan gerakan sebelum gol berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top