Derbi Utara: Kedah FA sedia gempur Perlis GSA di Kangar

Derbi Utara: Kedah FA sedia gempur Perlis GSA di Kangar


Victor mahu anak buahnya waspada apabila turun bertemu Perlis GSA FC di Kangar pada Sabtu ini. Foto Kedah FA

KEDAH FA diingatkan tidak leka dan menunjukkan karakter sebenar apabila berdepan cabaran skuad Perlis GSA FC dalam aksi tumpuan derbi Utara Liga A1 Semi Pro di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar, pada Sabtu ini.

Ketua Jurulatihnya, Victor Andrag berkata, walaupun tampil dengan tiga pemain import baharu iaitu Yakubu Abubakar, Adam Azeez dan Pape Diakite, pertembungan menentang Perlis GSA FC bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan.

“Mereka mungkin tidak memiliki pemain import, tetapi itu bukan ukuran kekuatan. Karektor dan kesungguhan pasukan lebih penting dan itulah yang perlu ditampilkan oleh skuad kami,” katanya selepas sesi latihan di Stadium Darul Aman pada Rabu.

Beliau mengingatkan anak buahnya agar tidak bersikap terlalu yakin memandangkan pasukan kendaliannya masih dalam fasa percubaan membentuk kombinasi terbaik berbanding Perlis GSA FC yang sudah lama terbentuk dan menjuarai Liga A2 musim lalu.

Menurutnya, tiga mata penuh tetap menjadi sasaran pasukannya walaupun bakal berdepan saingan sengit pasukan tuan rumah.

“Kami perlu lebih fokus dan berdisiplin. Ini perlawanan penting untuk membina momentum dan menaikkan semangat pemain menghadapi saingan yang panjang,” ujarnya lagi.

Jurulatih berpengalaman itu turut menyifatkan aksi pembukaan ini sebagai cukup istimewa apabila dua pasukan utara bertemu kembali dalam saingan liga selepas sekian lama.

“Saya yakin penyokong akan turun beramai-ramai di Kangar dan semangat Derbi Utara akan menyemarakkan lagi suasana stadium. Pemain harus bijak mengawal emosi dan tampil dengan permainan bermutu,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top