UMNO akan menghantar wakil ke Muktamar Tahunan PAS Ke-72 yang dijadualkan berlangsung di Kota Bharu, Kelantan pada 4 dan 5 September depan.
Pasti akan hantar wakil
Memetik laporan daripada Berita Harian, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan keputusan mengenai wakil yang akan dihantar bagaimanapun akan ditentukan kemudian.
“Kita pasti akan hantar wakil ke muktamar berkenaan,” katanya ringkas pada sidang media selepas merasmikan Ekspo Pelancongan dan Perdagangan Islam Dunia (WITEX) serta Festival Seni dan Kebudayaan Dunia.

PAS sudah hantar jemputan
Terdahulu, media memetik Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata parti itu sudah menghantar jemputan kepada Ahmad Zahid dan tiga lagi pimpinan UMNO pada Rabu lalu untuk menghadiri muktamar berkenaan.
“Kita masih menunggu. Kita menjemput Presiden UMNO sendiri serta tiga pimpinan parti itu, terpulang kepada mereka mahu hadir atau sebaliknya. Surat jemputan dibuat tiga hari lalu dan kita masih mempunyai tempoh 10 hari sebelum berlangsung Muktamar PAS di Kelantan,” katanya.

Muktamar Tahunan PAS Ke-72 dijadualkan dirasmikan Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada 4 September ini.
Sumber: Berita Harian (Muhammad Yusri Muzamir)
