Warga emas parah dipukul jiran guna batang besi


GEORGE TOWN : Seorang lelaki warga emas cedera parah selepas dipukul oleh jirannya dengan menggunakan sebatang besi dalam satu kejadian di Jalan Perak di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, siasatan awal mendapati, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 9.30 pagi ketika mangsa yang berusia 80 tahun sedang berada di hadapan rumahnya.

“Suspek seorang lelaki tempatan berusia 62 tahun dipercayai memukul mangsa menggunakan sebatang besi dan akibat daripada kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian tangan dan kaki. Dia kini masih menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang,” katanya di sini, hari ini.

Abdul Rozak berkata, suspek bagaimanapun berjaya ditahan tidak lama selepas kejadian dan susulan penahanan itu, polis turut merampas sebatang besi yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan di rumah suspek.

Katanya, siasatan awal mendapati, kejadian dipercayai berpunca daripada satu perselisihan faham antara mangsa dengan suspek yang tinggal berjiran.

“Ketika ini, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan menggunakan senjata. Suspek juga akan direman esok bagi membantu siasatan,” katanya.-UTUSAN



Source link

OR

Scroll to Top