MELAKA:McDonald’s Malaysia melakar sejarah apabila buat julung kali menyertai sambutan Hari Kebangsaan Ke-68 menerusi aktiviti khas, termasuk Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2025 anjuran Kementerian Komunikasi.
Komitmen syarikat dalam aktiviti bermakna itu, membuktikan McDonald’s Malaysia mengambil peranan yang lebih besar sebagai syarikat tempatan untuk menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan tahun ini membabitkan 15 restoran pandu lalu yang terpilih sebagai lokasi rasmi persinggahan peserta kembara berkenaan di seluruh negara.
Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Impak McDonald’s Malaysia, Melati Abdul Hai, berkata bermula di restoran McDonald’s Kluang, Johor pada 28 Juai lalu dan bakal berakhir di McDonald’s Pantai Sentral Park, Kuala Lumpur pada 16 Ogos ini, penyertaan restoran khidmat segera itu dalam program kembara ini turut mencerminkan komitmen pihaknya terhadap nilai patriotisme dan kecintaan terhadap negara.
Beliau berkata, seiring dengan itu, pihaknya menyusun pelbagai aktiviti di setiap lokasi persinggahan peserta konvoi bermotosikal bagi memeriahkan serta menceria lagi suasana.
Ia termasuk pengagihan Jalur Gemilang secara percuma, selain pelekat Pandu-Lalu edisi Merdeka, aiskrim kon Sundae McDonald’s percuma, baucar makanan edisi khas Merdeka dan aktiviti interaktif bersama keluarga.
Aktiviti tema kemerdekaan
Allex Seah dan Melati pada majlis pelepasan konvoi di McDonald’s Batu Berendam, baru-baru ini.
Dekorasi restoran bertemakan Hari Kebangsaan, promosi hidangan untuk pelanggan serta hadiah menarik khas untuk 100 pengunjung terawal ketika kunjungan konvoi bermotosikal.
“Banyak aktiviti bertemakan kemerdekaan akan berlangsung di restoran terpilih kami dan sudah pasti kami sangat teruja untuk menyambutnya bersama rakyat Malaysia,” katanya ketika ditemui pada majlis pelepasan konvoi di McDonald’s Batu Berendam, di sini, baru-baru ini.
Majlis itu disempurnakan EXCO Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kesidang, Allex Seah Shoo Chin.
Restoran McDonald’s Batu Berendam menjadi lokasi kedua persinggahan konvoi hari ini yang turut menyajikan aktiviti menarik seperti bengkel burger kanak-kanak dan pelepasan konvoi ke destinasi berikutnya.
Melati berkata, pemilihan 15 restoran McDonald’s di setiap negeri sebagai lokasi persinggahan membuktikan hubungan erat syarikat itu dengan komuniti setempat di seluruh negara.
Antara aktiviti sempena persinggahan konvoi peserta Kembara Merdeka Jalur Gemilang di Restoran McDonald’s Batu Berendam.
Selain itu, katanya, McDonald’s juga tidak melepaskan peluang menghargai jasa dan pengorbanan pasukan beruniform menerusi pemberian makanan percuma di lebih 370 cawangan seluruh negara sepanjang Julai dan Ogos ini.
“Kami juga akan mengedarkan 50,000 baucar makanan percuma dan 2,500 hadiah edisi khas Mekdi kepada pengunjung sempena sambutan rasmi nanti sebagai tanda penghargaan kepada rakyat Malaysia yang terus menyokong McDonald’s Malaysia sebagai sebuah syarikat dimiliki dan diusahakan oleh 100 peratus anak tempatan ini,” katanya.
Sejajar dengan itu, beliau berkata, McDonald’s komited menyediakan peluang pekerjaan, latihan belia serta menyantuni komuniti setempat selaras dengan slogan ‘Syarikat Malaysia Untuk Rakyat Malaysia, Demi Malaysia ‘.
“Ramai anak muda tempatan bekerja bersama kami dan kami mahu terus berperanan aktif dalam menyemarakkan semangat patriotisme dan menyumbang kepada komuniti sempena bulan kemerdekaan ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd