Heung-min akhiri legasi 10 tahun di Spurs

Heung-min akhiri legasi 10 tahun di Spurs


KAPTEN Tottenham Hotspur, Son Heung-min, mengumumkan bakal menamatkan karier 10 tahun bersama kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

Pemain berusia 33 tahun dari Korea Selatan itu mendedahkan perkara berkenaan dalam satu sidang akhbar, menjelang aksi persahabatan pramusim menentang Newcastle United di Seoul.

Heung-min, yang masih terikat kontrak sehingga 2026, telah membantu The Lilywhites menjulang trofi pertama dalam tempoh 17 tahun apabila menewaskan Manchester United dalam final Liga Europa, Mei lalu.

“Keputusan untuk meninggalkan pasukan ini adalah antara yang paling sukar pernah saya buat sepanjang kerjaya bola sepak.

“Bermain dan berbakti untuk satu pasukan selama 10 tahun sesuatu yang saya amat banggakan. Saya berikan segala-galanya untuk kelab ini setiap hari dalam dan di luar padang.

“Saya percaya, dengan memenangi Liga Europa, saya telah menyumbang segala yang mampu,” katanya.

Heung-min menyertai Tottenham dari kelab Bundesliga Jerman, Bayer Leverkusen pada 2015, kini dikaitkan dengan perpindahan ke kelab Liga Bolasepak Utama (MLS) Amerika Syarikat, Los Angeles FC, menurut laporan media Britain.

“Saya membesar sebagai pemain dan individu di sini. Saya tinggalkan kelab ini dengan hati yang penuh kesyukuran,” ujar Heung-min.

Sepanjang bersama Spurs, beliau telah membuat 454 penampilan dan menjaringkan 173 gol, selain turut memenangi Kasut Emas EPL pada musim 2021/22.

Sementara itu, pengendali Lilywhites, Thomas Frank menyifatkan Heung-min sebagai legenda sejati kelab.

“Dia seorang pemain yang luar biasa, dan saya suka pendekatan kelab yang terbuka terhadap keputusan ini.

“Memang sukar untuk mencari masa yang sesuai, tapi saya rasa ini masa yang tepat untuk keluar dengan pencapaian tertinggi,” kata Frank.



Source link

OR

Scroll to Top