Prestasi terburuk United, Amorim dihantui rasa takut setiap minggu

Prestasi terburuk United, Amorim dihantui rasa takut setiap minggu


PENGENDALI Manchester United, Ruben Amorim mengakui kerap dihantui rasa takut setiap kali mengemudi perlawanan The Red Devils musim lalu berikutan prestasi paling buruk kelab itu dalam tempoh lebih lima dekad.

Semasa sidang akhbar jelajah pramusim United di Amerika Syarikat, Amorim mendedahkan penderitaannya ketika membimbing Red Devils yang menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris 2024/25 di tangga ke-15, pencapaian terburuk sejak musim 1989/90 dan yang paling hambar sejak penyingkiran musim 1973/74.

Pengendali berusia 40 tahun itu yang mengambil alih jawatan di Old Trafford selepas Erik ten Hag dipecat pada November 2024 hanya mampu mencatat tujuh kemenangan daripada 27 perlawanan liga yang dikendalikannya.

Musim yang suram itu turut ditutup dengan kekalahan mengecewakan kepada kelab senegara, Tottenham Hotspur, dalam perlawanan akhir Liga Europa di Bilbao.

Ketika ditanya bagaimana beliau menangani tekanan di rumah bersama isteri dan anaknya selepas kekalahan demi kekalahan termasuk empat kekalahan berturut-turut dan hanya tiga kemenangan dalam 11 aksi terakhir, Amorim mengakui tekanan paling hebat dirasai sebelum sepak mula.

“Sejujurnya, yang paling sukar bukan bagaimana saya pulang ke rumah selepas perlawanan, tetapi bagaimana saya keluar dari rumah menuju ke stadium. Sebab saya sudah dapat rasakan kami akan bergelut.

“Segala kesukaran yang kami alami di atas padang, saya telah dapat agak lebih awal. Dan itulah yang paling menyakitkan ke stadium dengan perasaan kami tidak akan dapat bersaing. Ia sangat mengecewakan,” jelasnya.

Bagaimanapun, Amorim menegaskan situasi kini jauh berbeza. Biarpun mengakui pandangannya terhadap profesion kejurulatihan tidak lagi bersifat romantik seperti dahulu, beliau tetap optimis dengan potensi dan perubahan positif yang sedang berlaku dalam skuad kendaliannya itu.



Source link

OR

Scroll to Top