Zamri kanan menjaringkan gol kemenangan KDA FC. – Foto: KDA FC
KETUA Jurulatih Kedah Darul Aman (KDA) FC, Azzmi Abd Aziz menegaskan bahawa perjalanan pasukannya dalam Liga A1 Semi Pro musim 2025/2026 masih panjang, meskipun berjaya mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Machan FC pada petang Ahad.
Menurut Azzmi, kemenangan di Stadium Mini Majlis Perbandaran Kubang Pasu adalah hasil usaha padu daripada barisan pemain muda yang kebanyakannya didaftarkan pada saat akhir termasuk pemain dari skuad Piala Presiden, Belia dan bawah 23 tahun.
“Kita bermula dengan agak sukar, tetapi hari ini mereka buktikan yang mereka mampu bersaing. Walaupun menang, kita sedar perjalanan ini masih jauh dan proses pembelajaran mereka masih berjalan,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.
Gol kemenangan tuan rumah hadir seawal minit kelima menerusi tandukan ketua pasukan, Zamri Pin Ramli, selepas menerima hantaran sudut yang kemas.
Beliau turut memuji keteguhan pertahanan serta disiplin taktikal pasukan yang berjaya mengawal tekanan lawan walaupun cuaca panas menyulitkan pergerakan pemain.
Azzmi menyifatkan perlawanan itu sebagai platform penting buat pemain-pemain muda untuk belajar dan menyesuaikan diri dengan suasana kompetitif serta kehadiran penyokong yang luar biasa.

Majoriti pemain KDA FC dibarisi mereka yang berumur 21 tahun. – Foto: KDA FC
“Pertahanan berjaya bekerjasama dengan baik. Namun, serangan masih ada ruang untuk diperbaiki.
“Majoriti pemain kita berumur sekitar 21 tahun. Ini satu pengalaman berharga buat mereka dan saya harap keyakinan mereka akan bertambah dari satu perlawanan ke perlawanan yang seterusnya,” ujar beliau.
Dalam masa yang sama, beliau tidak menafikan kekuatan Machan FC yang memiliki pemain berkualiti dan mampu menghasilkan hantaran berbahaya ke dalam kotak penalti.
“Machan bukan lawan mudah. Mereka ada kelebihan dari segi teknik dan hantaran,” katanya lagi.
Azzmi turut merakamkan penghargaan terhadap sokongan padu daripada penyokong Kedah yang turun beramai-ramai ke stadium dan mengakui budaya bola sepak di negeri ini memang luar biasa.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Machan FC, Mohd Shukri Ismail mengakui kelekaan awal menjadi punca kekalahan pasukannya.
“Kami berjaya hasilkan sekurang-kurangnya tiga percubaan terbaik, tetapi nasib tidak menyebelahi apabila semuanya sekadar menggegar tiang gol,” ujarnya.