Cuba ragut rantai, suspek jatuh motosikal berjaya ditahan orang ramai

Cuba ragut rantai, suspek jatuh motosikal berjaya ditahan orang ramai


am@hmetro.com.my

Shah Alam: Cubaan seorang lelaki meragut rantai leher gagal apabila dia terjatuh dan berjaya ditahan orang awam dalam kejadian di Setia Alam, semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata dalam kejadian 7.07 malam itu, suspek yang menunggang motosikal secara berseorangan dipercayai cuba menarik rantai leher milik lelaki berusia 37 tahun ketika mangsa masuk ke keretanya di Jalan Setia Prima H U13/H.

“Mangsa bertindak pantas menarik semula rantainya menyebabkan suspek terjatuh. Suspek kemudian cuba melarikan diri tetapi berjaya ditangkap oleh orang awam yang ada berhampiran kawasan kejadian sebelum diserahkan kepada polis.

“Polis merampas motosikal, kunci dan pakaian suspek. Siasatan mendapati, suspek menggunakan nombor pendaftaran palsu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Iqbal berkata, kes disiasat Seksyen 393 Kanun Keseksaan dan suspek ditahan reman bermula hari ini sehingga 7 Ogos depan.

“Hasil soal siasat suspek berusia 30 tahun mengaku terbabit kes ragut sebelum ini yang disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top