Rutin sepanjang hayat

Rutin sepanjang hayat


nurul_husna@hmetro.com.my

Proses salin kulit adalah tempoh kritikal bagi udang hiasan.

Bagi udang hiasan dewasa biasanya mempunyai kitaran salin kulit setiap tiga hingga empat minggu sekali.

Sementara tempoh lebih singkat untuk udang hiasan lebih muda iaitu seminggu hingga dua minggu sekali.

Rutin itu dialami sepanjang hayat haiwan berkenaan kerana terdiri daripada kumpulan krustasea iaitu mempunyai rangka luar yang bersalin kulit untuk membesar.

Proses ini sangat penting dalam penjagaan udang hiasan kerana pemilik atau pembiak baka menyedari risiko udang ketika salin kulit lebih mudah dijangkiti penyakit.

Terdapat beberapa tanda dalam tingkah laku udang yang perlu diperhatikan pemilik udang hiasan.

Tanda tingkah laku itu memberi isyarat udang hiasan sudah bersedia melalui proses salin kulit.

Paling biasa ialah pemilik akan menyedari udang terbabit banyak menghabiskan masa dengan berdiam untuk satu tempoh yang panjang dan ia tidak bergerak terlalu jauh.

Selain itu, sebahagian udang hiasan akan menunjukkan reaksi tidak makan meskipun makanan dituang dalam akuarium. Ia hanya menggerakkan sedikit ‘antena’ atau ‘sesungut.’

Jika pemilik melihat sebilangan besar udang berkelakuan sedemikian, ia menjadi petanda masalah kualiti air. Kualiti air perlu segera diuji dan menyesuaikannya mengikut keperluan.

Berbanding senario sejumlah kecil udang hiasan tidak bergerak atau mendiamkan diri untuk satu masa yang lama, pemilik boleh mengandaikan proses salin kulit mungkin berlaku.

Selepas udang terbabit salin kulit, permukaan kulitnya sangat lembut dan mudah terdedah dengan serangan penyakit.

Biasanya udang akan bersembunyi selama beberapa hari sehingga kulit luarnya memiliki tekstur keras.

Bagi kes istimewa iaitu membabitkan udang hiasan betina, selepas proses salin kulit, ia boleh menarik perhatian jantan untuk proses mengawan.

Udang hiasan betina biasanya selepas selesai salin akan melepaskan feromon menandakan ia sedia mengawan.

Sementara, udang hiasan jantan matang akan berenang di sekeliling tangki dan mencari udang betina yang bersembunyi.

Sebaik sahaja udang jantan menemui udang betina dan mengawan, telur itu kemudiannya akan bergerak dari belakang badan ke bawah badannya. Itu adalah cara udang hiasan membawanya sehingga telur menetas.

Bagi memastikan udang hiasan menempuh proses salin kulit dengan baik berikut antara faktor perlu diteliti pemilik udang peliharaan.

1. Kualiti air

Udang sangat sensitif terhadap perubahan dalam parameter air seperti pH dan kekerasan (GH/KH).

Perubahan kualiti air secara tiba-tiba boleh menyebabkan kejutan osmotik ketika udang salin kulit.

Keadaan terbabit boleh berpotensi membawa maut kepada udang peliharaan.

Melaburlah dalam kit ujian kualiti air yang boleh dipercayai seperti Kit Ujian Induk API supaya boleh memantau tahap ammonia dan metrik penting yang lain.

2. Pemakanan

Pemakanan seimbang yang kaya dengan kalsium dan protein membantu membina cangkerang yang kuat.

Sediakan makanan khas untuk tingkatkan kesihatan udang atau tambah potongan tulang sotong terus ke dalam tangki sebagai sumber kalsium.

3. Tahap tekanan dalam akuarium atau air

Tekanan atau perubahan air secara tiba-tiba boleh melambatkan proses salin kulit atau lebih teruk lagi, membawa kepada kegagalan di mana ia tersekat separuh daripada cengkerang lamanya.

Elakkan memelihara udang hiasan bersama dengan ikan yang menggigit krustasea.

Itu juga boleh mendatangkan risiko lebih tinggi untuk proses salin kulit udang hiasan gagal.

4. Umur dan saiz

Udang hiasan dengan usia lebih muda salin kulit setiap satu hingga dua minggu kerana ia membesar dengan lebih cepat.

Manakala udang dewasa lebih lambat kitaran salin kulit iaitu kira-kira setiap tiga hingga empat minggu.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top