YEREVAN: Ketua Suruhanjaya Eropah (EC), Ursula von der Leyen menegaskan blok itu bersedia dengan apa jua senario selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengugut untuk menaikkan tarif ke atas kereta dari Eropah.
Trump pada Jumaat lalu berikrar untuk menaikkan tarif ke atas kereta dan trak Kesatuan Eropah (EU) daripada 15 peratus kepada 25 peratus dengan menuduh blok itu melanggar perjanjian perdagangan yang dicapai tahun lalu, dakwaan yang ditolak oleh von der Leyen.
“Perjanjian adalah perjanjian dan kita mempunyai perjanjian. Kita sedang melaksanakan perjanjian ini sambil menghormati prosedur demokrasi berbeza yang kita ada di kedua-dua pihak,” katanya kepada wartawan di Yerevan.
Parlimen Eropah memberi kelulusan bersyarat kepada perjanjian perdagangan EU-AS, namun di bawah prosedur blok itu, versi akhir masih perlu dirundingkan dengan negara anggota.
“Di pihak EU, kita kini berada di peringkat akhir melaksanakan komitmen tarif yang masih berbaki.
“Pada masa yang sama, pihak AS mempunyai komitmen, contohnya di mana penyelarasan dengan had yang dipersetujui masih belum selesai.
“Kita mahukan daripada kerja ini manfaat bersama, kerjasama dan kebolehpercayaan dan kita bersedia untuk setiap senario,” tambah beliau.
Perjanjian perdagangan EU-AS tahun lalu menetapkan had tarif AS sebanyak 15 peratus ke atas kebanyakan barangan Eropah, termasuk kereta, lebih rendah daripada kadar 25 peratus yang dikenakan Trump ke atas kenderaan dari banyak rakan dagang lain.
Ketua perdagangan EU, Maros Sefcovic dijadualkan mengadakan perbincangan dengan wakil perdagangan AS, Jamieson Greer di mesyuarat menteri G7 di Paris pada Selasa.
Greer berkata kepada CNBC pada Isnin, proses kelulusan di pihak EU adalah sangat perlahan dan telah memasukkan pindaan yang akan mengehadkan perjanjian itu.
“Selepas berbincang dengan rakan Eropah kami selama berbulan-bulan, Presiden memutuskan bahawa jika pihak Eropah tidak melaksanakan perjanjian itu sekarang, maka kami juga tidak perlu melaksanakannya sepenuhnya pada masa ini,” katanya.
EC menegaskan ia kekal komited terhadap perjanjian itu.
“Sejak hari pertama, kami melaksanakan kenyataan bersama ini dan kami komited sepenuhnya untuk menunaikan komitmen bersama,” kata jurucakap EU, Thomas Regnier pada Isnin.
EU turut memberi amaran ia masih membuka semua pilihan, namun enggan mengulas bagaimana tindak balasnya jika tarif baharu itu dilaksanakan.-AFP





