OPR turun, belanja naik: Apa kata al-Quran dan al-Hadis?

OPR turun, belanja naik: Apa kata al-Quran dan al-Hadis?


PENURUNAN Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas oleh Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini memberi kelegaan kepada sektor perbankan, pengguna serta peniaga kecil dan sederhana.

Seiring dengan kenyataan Prof. Emeritus Barjoyai Bardai, langkah ini dijangka merangsang permintaan domestik serta mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi negara.

Namun demikian, dalam keterujaan menyambut langkah rangsangan ini, perlu ada satu suara keseimbangan iaitu suara wahyu dan hikmah syariah bagi memastikan kesan ekonomi ini tidak menjurus kepada pemborosan, beban hutang dan krisis moral kewangan.

Dari sudut ekonomi konvensional, penurunan OPR bermakna kadar pinjaman menjadi lebih murah. Ini mendorong pengguna membuat pinjaman untuk perumahan, kereta, pelaburan dan sebagainya.

Seterusnya ia meningkatkan aktiviti pasaran dan menyokong Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Islam tolak boros, galak berhemah

Namun dari perspektif Islam, dorongan ini mesti ditimbang secara berhati-hati.

MASYARAKAT seharusnya menggunakan peluang ini untuk melabur dalam pendidikan anak-anak atau memulakan perniagaan halal kecil, menyelesaikan hutang lama. Foto CANVA

ALLAH SWT berfirman: “Dan janganlah kamu boros. Sesungguhnya orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan.” (Surah al-Isra’: 27).

Hakikatnya Islam menolak pemborosan dan menggalakkan perbelanjaan berhemah yang produktif dan beretika.

Penurunan kadar faedah tidak sepatutnya mendorong umat Islam untuk berhutang tanpa keperluan atau mengejar gaya hidup berlebihan.

Seperti yang dtegaskan oleh hadis Nabi SAW yang sangat jelas dalam hal ini iaitu: “Roh seorang mukmin tergantung (tidak bebas) kerana hutangnya sehingga ia membayar hutangnya.” (Hadis Riwayat Ahmad dan Tirmizi)

Hutang bukan untuk bermewah

Meskipun kos pinjaman menurun, prinsip syariah tidak berubah iaitu hutang adalah amanah dan tidak boleh dijadikan alat untuk bermewah-mewahan atau menampung gaya hidup yang tidak mampu ditanggung oleh pendapatan sebenar seperti yang dijelaskan oleh Dr. Monzer Kahf yang merupakan pakar ekonomi Islam dunia bahawa rangsangan ekonomi adalah penting, tetapi mesti dipacu melalui sektor sebenar, bukan hutang pengguna yang tidak produktif.

Dalam sistem kewangan Islam, pinjaman hanya wajar jika disandarkan pada tujuan halal, jelas dan memberi manfaat kepada individu serta masyarakat.

Begitu juga pandangan Prof. Dr. Mohamad Akram Laldin dari International Shari’ah Research Academy for Islamic Finance dan International Centre for Education in Islamic Finance (ISRA-INCEIF) bahawa kestabilan ekonomi negara Islam tidak boleh hanya bergantung pada alat kewangan konvensional seperti kadar faedah, tetapi mesti disokong dengan pemerkasaan instrumen kewangan Islam seperti pembiayaan mikro bebas riba, wakaf produktif dan qard hasan (pinjaman bebas riba).

Tuntasnya, Islam memberi garis panduan jelas dalam berbelanja iaitu pertamanya berbelanja untuk keperluan, bukan kemahuan di samping menjaga keutamaan keluarga dan kebajikan. Selain itu, elakkan riba dan hutang jangka panjang tanpa keperluan.

PEMBELIAN tidak perlu dan peningkatan hutang konsumer akan membawa kepada kemusnahan sistem kewangan peribadi dan masyarakat. Foto CANVA

PEMBELIAN tidak perlu dan peningkatan hutang konsumer akan membawa kepada kemusnahan sistem kewangan peribadi dan masyarakat. Foto CANVA

Ini dirakam oleh ALLAH SWT dalam firman-NYA: “Makanlah dan minumlah, dan janganlah kamu berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berlebih-lebihan.” (Surah al-A’raf, 7:31)

Seimbang kemajuan ekonomi, prinsip nilai Islam

Sebenarnya dalam konteks Malaysia yang sedang menuju visi Negara Madani, keseimbangan antara kemajuan ekonomi dan prinsip nilai Islam sangat penting.

Penurunan OPR hanyalah alat bagaimana ia digunakan untuk menentukan sama ada hasilnya berkat atau sebaliknya.

Masyarakat seharusnya menggunakan peluang ini untuk melabur dalam pendidikan anak-anak, memulakan perniagaan halal kecil atau menyelesaikan hutang lama yang selari dengan Maqasid Syariah iaitu menjaga harta, agama dan kesejahteraan keluarga.

Namun, jika situasi ini mendorong kepada pembelian tidak perlu dan peningkatan hutang konsumer, maka ia membawa kepada kemusnahan sistem kewangan peribadi dan masyarakat.

Justeru penurunan OPR sememangnya dari sisi yang positif boleh menjadi rahmat ekonomi seandainya masyarakat memanfaatkannya dengan beretika dan berpandukan syariah.

Maka umat Islam diseru untuk menjadikan al-Quran dan hadis sebagai panduan utama dalam membuat keputusan kewangan, bukan hanya dipandu oleh dorongan pasaran jika kita mahu negara yang tercinta ini membangun dari segi ekonomi, tanpa kehilangan nilai spiritual dan integriti sosial.

***PROF MADYA DR ZAIZUL AB RAHMAN merupakan Pensyarah Kanan Pusat Kajian Usuluddin dan Falsafah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia.



Source link

OR

Scroll to Top