Aksi pertembungan Malaysia dan Thailand dalam perlawanan akhir acara regu berpasukan di Piala Raja Thai baru-baru ini. Foto Persekutuan Sepaktakraw Thailand (Gambar kecil: Mohd Sadek)
SKUAD sepak takraw negara disaran menilai semula budaya pemakanan harian sekiranya benar-benar serius mahu menamatkan dominasi Thailand di pentas antarabangsa.
Penganalisis sukan dan Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustafa berkata, isu pemakanan bukan lagi perkara remeh dalam sukan moden, sebaliknya menjadi komponen utama dalam prestasi atlet berprestasi tinggi.
“Saya faham roti canai dan nasi kandar memang kegemaran rakyat Malaysia, tetapi untuk seorang atlet yang sedang menjalani latihan intensif menuju Sukan SEA, makanan seperti itu patut dielakkan sama sekali.
“Kalau masih makan ikut selera dan bukan ikut keperluan latihan, macam mana kita nak lawan Thailand yang begitu teliti dalam hal pemakanan dan pemulihan pemain mereka?” katanya kepada Sukan Sinar.
Jelasnya lagi, pemakanan atlet perlu dikawal rapi dengan pengambilan protein mencukupi, suplemen yang betul serta makanan rendah minyak dan gula yang menyokong tenaga dan pemulihan otot.
Pemakanan yang tidak terkawal boleh mengundang keletihan, risiko kecederaan serta mengganggu konsistensi pemain di gelanggang.
Dalam masa sama, Mohd Sadek turut menekankan kepentingan kekuatan fizikal yang seimbang dalam kalangan pemain, terutamanya posisi tekong dan apit kanan yang memerlukan kuasa pukulan serta lompatan agresif daripada apit kiri.
“Latihan gimnasium mesti dipertingkat. Ini bukan soal siapa lebih berbakat tetapi siapa lebih bersedia dari segi fizikal dan taktikal,” katanya.
Beliau juga menggesa pihak kejurulatihan agar mengoptimumkan penggunaan data dan analisis video untuk mengenal pasti corak permainan pasukan lawan seperti Thailand, selain menerapkan variasi taktikal yang boleh memberikan kejutan di saat genting.
“Setiap pemain sepatutnya ada satu atau dua gerakan yang jarang digunakan tetapi cukup efektif ketika situasi mendesak. Itulah yang membezakan pasukan biasa dengan pasukan juara,” jelasnya.
Malaysia masih bergelut untuk menamatkan kemarau emas dalam acara regu berpasukan sejak kali terakhir merangkulnya di Sukan SEA 1991, malah baru-baru ini tewas 0-2 kepada Thailand dalam Piala Raja Thai 2025.