Padang Stadium Darul Makmur diiktiraf FIFA, kini dibuka secara rasmi

Padang Stadium Darul Makmur diiktiraf FIFA, kini dibuka secara rasmi


PADANG Stadium Darul Makmur yang diiktiraf sebagai padang rumput asli pertama di negara ini dan memperoleh pensijilan daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dibuka secara rasmi, sekali gus melakar sejarah baharu buat arena sukan khususnya bola sepak di negeri ini.

Majlis perasmian padang yang dinaik taraf menggunakan rumput jenis Bermuda Tifgrand itu disempurnakan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada Ahad.

Wan Rosdy berkata, padang Stadium Darul Makmur kini diiktiraf sebagai padang rumput semula jadi pertama di Malaysia yang menerima pensijilan rasmi FIFA menerusi Program Kualiti FIFA bagi Permukaan Padang Semula Jadi.

Menurutnya, pensijilan itu diperoleh setelah satu proses penilaian teknikal yang komprehensif dijalankan konsultan dilantik badan bola sepak dunia itu pada 23 dan 24 April lalu.

“Hasil daripada penilaian tersebut, padang ini telah menerima penarafan cemerlang dengan markah keseluruhan 93 peratus,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian padang itu di Kuantan pada Ahad.

Wan Rosdy melakukan tendangan penalti ketika mencuba padang baharu Stadium Darul Makmur.

Turut hadir, Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan negeri, Fadzli Mohamad Kamal.

Wan Rosdy berkata, padang itu mula dinaik taraf pada September 2024 dengan peruntukan keseluruhan RM1.6 juta.

Menurutnya, daripada jumlah itu, RM1.1 juta melalui peruntukan kerajaan negeri manakala RM500,000 daripada kerajaan Persekutuan.

“Padang ini menepati piawaian antarabangsa yang sangat ketat sekali gus menjadikan ia setanding dengan padang bola sepak utama dunia.

“Pengiktirafan ini juga amat penting kerana padang yang berkualiti tinggi mampu mengurangkan risiko kecederaan dan meningkatkan prestasi atlet semasa bertanding,” ujarnya.

Wan Rosdy bersama peserta Klinik Bola Sepak Bawah 12 Tahun (U12) Negeri Pahang yang menjadi kumpulan pertama berpeluang berlatih di padang baharu Stadium Darul Makmur pada Ahad.

Wan Rosdy bersama peserta Klinik Bola Sepak Bawah 12 Tahun (U12) Negeri Pahang yang menjadi kumpulan pertama berpeluang berlatih di padang baharu Stadium Darul Makmur pada Ahad.

Beliau turut menyifatkan projek naik taraf itu sebagai pelaburan jangka panjang demi pembangunan sukan negeri dan generasi masa depan.

“Saya berharap dengan adanya padang baru bermutu tinggi ini, kita akan dapat melahirkan atlet dan pemain bola kita yang berkualiti bukan sahaja di peringkat negeri tapi juga ke peringkat kebangsaan

“Padang ini akan diuruskan Perbadanan Stadium Darul Makmur dan orang ramai boleh memohon untuk menggunakan kemudahan ini bermula hari ini (Ahad),” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kerja naik taraf kemudahan lain di stadium berkenaan akan dilaksanakan secara berperingkat.



Source link

OR

Scroll to Top