GOLONGAN belia yang masih menganggur kini tidak lagi perlu pening kepala memikirkan soal pekerjaan apabila satu peluang keemasan dihidangkan untuk meningkatkan kemahiran digital mereka secara percuma.
Menerusi inisiatif Google Gemilang, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan syarikat perusahaan sosial tempatan, Pepper Labs, bergabung tenaga menawarkan biasiswa penuh untuk latihan kemahiran diiktiraf antarabangsa.
Kerjasama strategik ini dilihat sebagai langkah proaktif Kementerian Sumber Manusia dalam usahanya memerangi isu pengangguran dalam kalangan graduan, selain mempercepatkan agenda keterangkuman digital negara.
Di bawah program biasiswa ini, peserta bakal menerima akses penuh kepada sijil kerjaya yang diiktiraf di seluruh dunia.
Antara bidang latihan yang menjadi rebutan majikan masa kini termasuklah kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber, analisis data, pengurusan projek dan pemasaran digital, yang kesemuanya disediakan oleh gergasi teknologi, Google.
Semua modul pembelajaran berkualiti tinggi ini disampaikan secara dalam talian melalui platform Coursera.
Program ini direka khas untuk merapatkan jurang antara kelayakan graduan dengan kehendak industri, sekali gus menyokong matlamat negara untuk melahirkan tenaga kerja yang celik digital dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata, kementeriannya amat komited untuk memperkasakan belia dengan kemahiran yang sepadan dengan permintaan ekonomi masa depan.
“Melalui perkongsian antara PERKESO dan Pepper Labs ini, kami memastikan graduan yang menganggur tidak ketinggalan. Inisiatif ini adalah bukti kepercayaan kami terhadap potensi bakat muda dan keazaman untuk mengangkat mereka dengan peluang diiktiraf global,” katanya.
Mengulas mengenai kerjasama itu, Pengarah Google Malaysia, Farhan Qureshi berkata, pihaknya berbangga dapat memperluaskan manfaat Google Gemilang kepada lebih ramai rakyat Malaysia.
“Usaha ini mencerminkan komitmen Google untuk memainkan peranan penting dalam memastikan pertumbuhan ekosistem digital negara terus pesat, sekali gus memajukan Malaysia bersama-sama,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd