PENJAGA gol antarabangsa Itali, Gianluigi Donnarumma dilaporkan bakal disingkirkan daripada Paris Saint-Germain (PSG) selepas kelab itu sanggup membayar €55 juta (RM272 juta) bagi mendapatkan pengganti, Lucas Chevalier, berbanding memenuhi tuntutan gajinya.
Situasi itu memuncak selepas rundingan kontrak antara Donnarumma dan PSG gagal mencapai kata sepakat, memaksa kelab gergasi Perancis itu mencari penjaga gol baharu.
Apa yang mengejutkan ialah kos perpindahan yang begitu tinggi, sedangkan Donnarumma terpaksa meninggalkan kelab hanya kerana PSG tidak lagi sanggup membayar gaji yang diterimanya sejak menyertai pasukan itu secara percuma daripada AC Milan pada 2021.
Menurut laporan RMC Sport, PSG mencapai persetujuan dengan LOSC Lille bernilai €40 juta (RM198 juta) ditambah €15 juta (RM74 juta) insentif, sekali gus menjadikan Chevalier antara penjaga gol termahal dalam sejarah bola sepak.
Akhbar L’Equipe pula mendedahkan PSG mahu melengkapkan perpindahan itu secepat mungkin supaya Chevalier dapat beraksi dalam Piala Super UEFA menentang Tottenham Hotspur pada 13 Ogos ini di Stadio Friuli, Udine.
Perlawanan itu pada mulanya dinantikan Donnarumma kerana ia berlangsung di negaranya, namun kini difahamkan dia sudah pun bermain perlawanan terakhir bersama PSG.
Musim lalu, Donnarumma memainkan peranan penting membantu PSG merangkul trofi Liga Juara-Juara, Ligue 1, Coupe de France dan Piala Super Perancis.
Pemain berusia 25 tahun itu turut tersenarai sebagai calon Anugerah Ballon d’Or serta Yachine Award.