firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Apa sudah jadi kepada saingan Liga Malaysia (Liga M) apabila nilai pasaran atau tanda harga liga tempatan kini menjunam di tangga keempat daripada sembilan liga di rantau Asia Tenggara.
Kejatuhan dua anak tangga itu nyata memberi tamparan hebat kepada kesemua pemegang taruh Liga M apabila direkodkan pada nilai RM252 juta sahaja.
Tanda harga berkenaan jatuh hampir 2.25 peratus (%) selepas musim lalu berada di posisi kedua di belakang Liga 1 Thailand.
Menerusi semakan dilaman sesawang Transfermarkt, Liga 1 Thailand terus mengekalkan kedudukan di tempat pertama dengan nilai tertinggi RM380 juta manakala Liga Super Indonesia memintas Liga M dengan nilai RM352 juta.
Liga 1 Vietnam turut ‘menendang’ Liga M apabila kini menghuni tangga ketiga dengan tanda harga RM264 juta diikuti Liga M keempat dan Liga Premier Singapura di kedudukan kelima.
Menurut ejen tersohor tanahair, Effendi Jagan Abdullah, penurunan ini kemungkinan berlaku disebabkan oleh tiga faktor di mana elemen utama adalah berkenaan nilai pemain import yang di bawa masuk.
“Saya fikir penurunan ini disebabkan oleh kualiti pemain import yang di bawa pada musim baharu 2025 ini.
“Penilaian tanda harga sesebuah liga turut berkait dengan nilai pasaran nama besar yang di bawa masuk ke dalam pasukan. Jika pemain yang dibawa murah atau tidak ternama, maka ia akan beri kesan kepada nilai liga,” katanya kepada Arena Metro.
Ujarnya lagi, perkara lain mungkin disebabkan faktor penajaan serta bilangan pasukan yang bertanding.
“Perkara lain mungkin juga disebabkan oleh penaja liga. Sehingga kini MFL (Liga Bolasepak Malaysia) masih belum umumkan penaja-penaja utama kepada liga kita.
“Berbeza dengan liga luar seperti Thailand dan Indonesia yang dilihat sudah umumkan penaja liga.
“Begitu juga mungkin ketiadaan tiga pasukan besar Liga M iaitu Perak, Kedah dan Pahang menyebabkan nilai juga menyusut. Kita tahu yang tiga pasukan itu ada penyokong yang besar dan mungkin sebab itu buatkan penaja agak perlahan dalam menaja liga kita,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd