Kah Woh bersama barisan penaja Heritage Ride Taiping 2025 pada Khamis.
ACARA berbasikal lebuh raya Heritage Ride Taiping 2025 dijangka mencatat penyertaan sehingga 2,000 peserta selepas penganjur mengumumkan lanjutan tempoh pendaftaran sehingga 24 September depan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, edisi kedua acara itu bakal berlangsung pada 30 November dengan Dataran Warisan Taiping dipilih sebagai lokasi pelepasan rasmi.
Menurutnya, sambutan luar biasa dengan 1,700 peserta telah mendaftar berbanding sasaran awal 1,500, mendorong penganjur membuka tempoh tambahan bagi memberi peluang lebih ramai penyertaan.
“Setakat ini, seramai 1,700 orang telah berdaftar melepasi sasaran awal. Kita yakin jumlah itu akan terus meningkat kerana sambutannya amat menggalakkan termasuk daripada peserta luar kawasan.
“Heritage Ride bukan sekadar acara sukan, tetapi juga platform merancakkan industri pelancongan Taiping, membina ekosistem pelbagai acara dan menonjolkan keunikan bandar ini yang kaya warisan,” katanya yang juga Ahli Parlimen Taiping pada sidang media Heritage Ride Taiping 2025, Khamis.
Sebagai rekod, acara kali ini menawarkan tiga kategori iaitu 90 kilometer (km) dan 60km (kompetitif) serta 20km Fun Ride yang merentasi laluan menarik seperti Sepetang, Simpang Empat dan Kamunting, dengan latar belakang keindahan alam semula jadi Perak.
Penganjur turut menyediakan 200 slot khas percuma untuk pelajar berusia tujuh hingga 17 tahun hasil kerjasama Kementerian Pendidikan bagi menarik penyertaan generasi muda.
Taiping sekali lagi dipilih sebagai lokasi kayuhan kerana sarat dengan nilai sejarah termasuk menempatkan muzium pertama, penjara pertama dan stesen kereta api pertama di Malaysia.
Peserta juga berpeluang menyusuri kawasan ikonik seperti Esplanade serta Raintree Walk di Taman Tasik Taiping yang berusia lebih 140 tahun, menjadikan acara ini gabungan unik antara sukan, warisan dan pelancongan.