KETIADAAN dua pemain import yang masih berdepan masalah dokumen Perpindahan Antarabangsa (ITC) merencatkan perancangan Kelantan Red Warriors FC (KRW) dalam aksi terbaharu Liga A1 Semi-Pro.
Ketua Jurulatih KRW, Irfan Bakti Abu Salim berkata, hanya seorang pemain import dapat diturunkan, manakala dua lagi terpaksa diketepikan kerana isu teknikal pendaftaran.
Situasi itu menyebabkan pasukan bergantung sepenuhnya kepada pemain tempatan untuk mengemudi cabaran di hadapan penyokong sendiri.
“Hanya Emmanuel Mbarga Nkene Junior dapat beraksi, kalau tidak memang sukar buat kami.
“Walaupun begitu, saya tetap berpuas hati dengan semangat yang ditunjukkan semua pemain yang berjuang habis-habisan,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan yang berakhir seri 1-1 menentang Universiti Malaya Damansara United (UM-Damansara United) di Stadium Sultan Muhammad IV di sini pada Jumaat.
Antara aksi pemain semasa perlawanan Liga A1 Semi-Pro antara KRW dan UM-Damansara United yang berkesudahan seri 1-1.
Beliau berkata, anak buahnya bermain dalam keadaan tertekan selepas timbul kekeliruan mengenai senarai nama pemain yang layak diturunkan sebelum sepak mula.
“Pemain saya bukan protes, tetapi mereka sedikit tertekan dan kapten terpaksa main peranan beri semangat,” ujarnya.
Dalam pada itu, kata Irfan, ketiadaan penyerang tulen terus menjadi masalah utama pasukan apabila beberapa peluang gagal disempurnakan pada separuh masa pertama.
“Kami ada pemain rajin, banyak peluang dicipta, tapi tiada pemain yang mampu menyudahkan percubaan,” katanya.
Mengulas perancangan seterusnya, beliau berharap masalah ITC dua pemain import berkenaan dapat diselesaikan dalam masa terdekat kerana pasukan mempunyai tempoh rehat kira-kira tiga minggu sebelum aksi berikutnya.
Sementara itu, Ketua Jurulatih UM-Damansara United, Ridzuan Abu Shah berkata, kelekaan barisan pertahanannya ketika berdepan sepakan penjuru memberi ruang kepada KRW memperoleh jaringan penyamaan.
“Ada sedikit kelekaan pemain saya sewaktu sepakan penjuru daripada pasukan KRW.
“Minit-minit terakhir fokus bahagian pertahanan agak longgar, itu yang membolehkan jaringan berlaku,” katanya.
Beliau bagaimanapun berpuas hati kerana pasukannya masih mampu membawa pulang satu mata penting dari gelanggang lawan, selepas mencatat kemenangan 1-0 menentang Perak FA dan tewas 0-5 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) sebelum ini.