Jaringan tunggal Jairo Da Silva sudah cukup buat JDT membawa pulang tiga mata berharga. – Foto: Johor Southern Tigers
PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Xesco Muñoz mengakui skuad kendaliannya terpaksa berhempas pulas sebelum berjaya menewaskan Kuching City FC 1-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Negeri, Kuching, pada Ahad.
Muñoz berkata, perlawanan tersebut berlangsung sengit dan bermain di tempat lawan bukan sesuatu yang mudah buat kesebelasan Harimau Selatan.
“Bagi saya, ia memang perlawanan yang sukar. Setiap kali bermain di tempat lawan, kami tahu akan berdepan cabaran besar, apatah lagi dengan beberapa muka baharu yang kali pertama beraksi di tempat lawan.
“Kuching City FC dilihat memberikan 100 peratus dan beraksi dengan penuh semangat, jadi kami perlu benar-benar fokus untuk mencari peluang pada perlawanan kali ini.
“Walaupun sukar, pemain tetap berusaha keras dan tiga mata ini sangat penting untuk pasukan,” katanya pada sidang akhbar sejurus tamat perlawanan.
Gol kemenangan JDT dijaringkan oleh penyerang import, Jairo Da Silva pada minit ke-62.
Sementara itu, Muñoz mengakui Kuching City FC merupakan pasukan yang mempunyai kualiti tersendiri dengan keupayaan melakukan serangan balas pantas.
Katanya, keupayaan itu sering memberikan masalah dan menyukarkan skuad Harimau Selatan sepanjang perlawanan.
“Kami juga sudah membuat analisis dan terbukti mereka pasukan yang baik, ada kemampuan untuk memberikan tekanan kepada lawan dan melakukan transisi pantas.
“Ini membuatkan kami perlu cepat menyesuaikan diri dan mujurlah semua pemain kekal positif sepanjang perlawanan serta membantu pasukan membawa pulang tiga mata berharga,” katanya.